Pelaksanaan Wakaf Rapatkan Jurang Sosio Ekonomi – MB

JOHOR BAHRU, 7 Nov – Kerajaan Negeri Johor hari ini mengajak semua pihak berkepentingan agar mencari jalan membongkar potensi sebenar wakaf sebagai instrumen baharu ekonomi yang mampu memberi penyelesaian kepada pelbagai masalah fundamental ekonomi yang sedang melanda dunia hari ini, termasuklah jurang dan kesenjangan sosio ekonomi yang semakin melebar.

img_0815-900x506-1Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata penerokaan terhadap model baharu itu penting dalam keadaan Johor berhadapan dengan kepesatan pembangunan, selain usaha menjadikan ia instrumen paling kukuh untuk melakukan transformasi bangsa dan tanah air.

Jelas beliau, sudah tiba masanya wakaf dijadikan sebagai satu model Islam untuk membangunkan potensi Johor dan Malaysia.

“Mari kita mencari dan menggali dalam timbunan tradisi dan khazanah ilmu Islam yang kaya segala solusi dan panduan untuk menyelesaikan pelbagai masalah yang mendepani negara.

“Saya sesungguhnya amat yakin dan percaya, wakaf adalah salah satu cara yang harus kita berikan perhatian serius dan wakaf adalah model yang selama ini kita cari-cari,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor 2016 yang di sempurnakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, dekat sini, hari ini.

Tambah Mohamed Khaled, saran itu juga dibuat kerana wakaf merupakan penyelesaian yang ditawarkan oleh Islam dalam membangunkan ummah, ekonomi, pendidikan, prasarana dan kesejahteraan sosial.

“Ia bukanlah rekaan dan idea yang tercetus dari akal manusia. Ia bukan lahir dari pemikiran biasa-biasa. Ia bersumberkan wahyu. Sebab itu, sejak sekian lama, ia menjadi jalan Islam membangunkan ummah.

“Jika ia adalah penyelesaian bersandarkan wahyu, maka kita mempunyai kewajipan yang sangat besar untuk menjayakannya. Kerana, menjayakan wakaf itu bererti berusaha menyebarkan syiar dan ajaran Islam. Memajukan waqaf itu, bermakna memajukan Islam,” jelasnya.

Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abd Mutalip Abd Rahim; Setiausaha Kerajaan Johor, Dato’ Ismail Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Md. Rofiki A. Shamsudin

Persidangan Wakaf Antarabangsa Johor 2016 yang berlangsung dua hari bermula hari ini disertai 500 peserta dari dalam dan luar negara, terdiri daripada ahli akademik, badan profesional, ahli perniagaan dan ketua-ketua jabatan kerajaan.

Ia melibatkan 13 pembentangan kertas kerja dari dalam dan luar negara.

Penganjuran yang julung kalinya itu merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri melalui MAINJ dalam usaha mendidik dan memberi kefahaman kepada masyarakat mengenai wakaf, sekaligus menyuburkan semula amalan wakaf yang sangat dituntut Islam.

Selain itu, ia bagi memperkukuh peranan institusi wakaf dan agensi pelaksana, seterusnya meningkatkan keyakinan masyarakat untuk berwakaf, selain platform percambahan idea dan perkongsian pengalaman melalui penglibatan negara-negara luar yang mengamalkan sistem wake. – JAUHAR