8 NGO Desak Syed Saddiq Mohon Maaf Pada Sultan Johor

JOHOR BAHRU, 7 Nov – Lapan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di daerah ini mendesak Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dan rakyat negeri ini.

Selain itu, laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Poli0711_sultans Daerah Johor Bahru Selatan, susulan kenyataan surat terbuka Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di laman sosial Facebook dianggap biadap dan seolah-olah mahu mengajar Sultan Johor berhubung Perlembagaan Persekutuan.

Lapan NGO berkenaan termasuk Persatuan Peniaga Bazar Johor Bahru@Bazar Karat, Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Melayu Malaysia Johor (GAPEMA), Pertubuhan Kebajikan Ayahanda Johor dan Persatuan Penjaja, Peniaga dan Pengusaha Industri Kecil Melayu Johor Bahru.

Pengerusi Persatuan Peniaga Bazar Johor Bahru@Bazar Karat, Mohammad Salezan Mohd Salleh, berkata kenyataan yang dibuat Syed Saddiq dianggap luahan biadap seorang anak muda yang sepatutnya memahami konsep Bangsa Johor iaitu mementingkan perpaduan dan keharmonian negeri ini.

“Kenyataan Syed Saddiq dianggap biadap dan ingin mengingkari titah Tuanku Sultan pada Perhimpunan Bangsa Johor baru-baru ini.

“Kami mengutuk sekeras-kerasnya sembah terbuka Syed Saddiq terhadap tuanku dan menuntut beliau membuat permohonan maaf secara terbuka kepada Sultan kami dan seluruh Bangsa Johor,” katanya ketika ditemui selepas selesai membuat laporan di sini, pada Sabtu.

Mohammad Salezan berkata, laporan polis dibuat supaya tidak ada pihak lain yang sama menyokong kenyataan Syed Saddiq yang jelas tidak menghormati Institusi Diraja Johor.

“Sebagai rakyat Johor, beliau sepatutnya memahami konsep bangsa Johor yang sebenarnya, bukannya cuba mengingkari titah Sultan,” katanya.

Antara yang dinyatakan Syed Saddiq dalam surat terbuka dimuat naik kelmarin pada jam 8.44 malam itu adalah menyatakan hak berdemonstrasi adalah satu daripada tiang demokrasi, sama seperti hak untuk mengundi.

Beliau turut menyatakan sejarah Malaya atau Malaysia banyak diwarnakan dengan demonstrasi jalanan yang aman. – Berita Harian