#KonvensyenUMNOJohor Diharap Jadi Medan Serlahkan Kekuatan UMNO – Rohaizah

Oleh: Salina Othman

AHAD 06 Nov – Pergerakan Puteri UMNO Negeri Johor berharap dengan adanya Konvensyen UMNO Johor pada 10 dan 11 Nov ini, akan dapat dijadikan platform untuk UMNO Johor memacu gerakan dalam tumpuan kemenangan pilihanraya ke14 dengan memikirkan keperluan orang muda dari sudut ekonomi, pendidikan dan keagamaan.

unnamed-4Ketuanya, Hajjah Rohaizah Ahmad berkata, hari ini kita melihat kerajaan negeri Johor menampilkan idea dan mekanisme rumah mampu milik dan juga rumah Prima yang dilihat memberi kesan positif kepada kami.

“Namun apa yang lebih utama adalah melihat keperluan orang muda mampu membeli. Begitu juga dengan mampu menyewa. Saya juga memohon agar isu berkaitan kadar sewaan rumah di Johor diberikan perhatian.

Puteri UMNO mencadangkan agar kerajaan mewujudkan malah memperbanyakkan rumah sewa beli satu mekanisme untuk membantu anak muda khususnya yang baru berumahtangga mampu memiliki tempat tinggal, sebagai contoh melaksana dan meluaskan program Sewa Beli Rumah Pertama,” ,” Ujar mengulas harapan Pergerakan Puteri UMNO Johor dalam Konvensyen UMNO Johor 2016.

Tambahnya, Puteri turut mencadangkan agar kerajaan menawarkan kepada penduduk Malaysia khususnya Johor untuk menggunakan kad pengenalan diri sebagai sistem dan kaedah pengesahan untuk layak mendapatkan subsidi kerajaan.

Ia sebagai langkah untuk mengelakkan warga asing turut menikmati faedah yang sama. Cara begini juga amat bersesuaian untuk dilaksanakan di Johor memandangkan Johor menjadi tumpuan warga Singapura.

Beliau juga mengakui sistem pendidikan di Malaysia adalah antara yang baik dan telah berjaya melahirkan generasi yang bijak pandai.

“Untuk memastikan generasi akan datang menghargai dan mempunyai jati diri yang tinggi, maka kami mencadangkan agar sedikit penambahan di dalam sistem pendidikan iaitu dengan memasukkan pengenalan terhadap Perlembagaan Malaysia.

Ia amat penting bagi membentuk sahsiah anak-anak dari kecil tentang hidup bermasyarakat pelbagai kaum dan memupuk rasa cinta terhadap tanahair,” ujar beliau lagi yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Pagoh.

Pergerakan Puteri UMNO juga melihat UMNO Johor perlu menjuarai perjuangan umat Islam dan memupuk serta memperluaskan Islam sebagai gaya hidup agar masyarakat khususnya anak muda lebih yakin prinsip yang diperjuangkan UMNO adalah meletakkan Islam sebagai agama unggul di Malaysia khususnya di negeri Johor.

Kerajaan perlu mendidik dan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya “cakna” terhadap masalah sosial yang berlaku dalam komuniti dan masyarakat.

“Kami mencadangkan pemantauan yang lebih serius berkaitan yang melibatkan penyediaan pemakanan halal dan tidak halal di restoran, kedai-kedai mahupun pasaraya.

Sebagai contoh pasaraya yang menjual barangan tidak halal hendaklah akur dengan arahan pengasingan rak agar rakyat tidak keliru. Begitu juga dengan pelbagai bentuk promosi jualan minuman keras dan pusat hiburan hendaklah dihadkan. Pemantauan dan penguatkuasaan undang-undang juga perlulah dilaksanakan secara tegas, berkesan dan berskala”

“Selain itu kami berharap UMNO mendesak supaya satu garis panduan disediakan bagi setiap premis agar memberikan kebenaran waktu solat ketika bekerja dan hal-hal yang berkaitan agama Islam di samping tetap menghormati amalan agama-agama lain. Maka dengan cara demikian, agama Islam akan unggul dan tidak diperkotak – katikkan,” tambahnya.

Puteri UMNO Johor berharap semoga Konvensyen ini mampu memberi impak dan mempertingkatkan kekuatan UMNO Johor dalam membawa suara orang Melayu dan anak muda, khususnya dalam membawa agama Islam sebagai tunggak perjuangan parti.