Virus Perpecahan Lebih Bahaya Daripada ‘Virus Zika‘, Sukar Diubati

JOHOR BAHRU, 4 Nov – Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar mengingatkan mengenai virus yang amat merbahaya yang datang ke negeri tersebut yang mana virus ini akan membuat pesakitnya sengsara sepanjang hayat.

“Ingin saya ingatkan mengenai satu penyakit yang sedang datang ke Johor akibat sejenis virus yang amat merbahaya. Virus ini lebih teruk daripada zika kerana tiada penawarnya. Jika penyakit jantung, boleh mati serta merta. Virus ini akan membuat pesakitnya sengsara sepanjang hayat.

0411_sultan“Virus yang saya maksudkan adalah virus perpecahan. Virus ini datang daripada parti politik baru dan ahli-ahlinya menjadi penyebarnya. Virus ini sangat merbahaya kerana ianya sukar diubati. Apabila masyarakat telah dijangkati virus ini, maka musnahlah kehidupan rakyat dan kemakmuraan negara.

“Oleh itu saya berharap rakyat menjauhkan diri daripada virus ini. Gunakan akal fikiran dan jangan sampai menyesal kemudian hari,“ titah baginda kepada kira-kira 3,000 hadirin yang menghadiri Majlis Himpunan Bangsa Johor di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, semalam.

Baginda seterusnya menambah pembawa virus ini akan menghentam kerajaan setiap hari dan menghasut rakyat supaya membenci pemimpin. Tetapi kebaikan yang dibuat kerajaan semuanya mereka buat tak nampak.

“Apabila agenda atau hasrat mereka tidak tercapai, mereka akan biarkan masyarakat hidup dalam keadaan yang menderita.

“Saya bercakap sebagai orang tua atau seorang bapa yang cintakan perpaduan dan mahu rakyat saya hidup dengan aman dan damai.

“Saya tidak mahu melihat rakyat saya berpecah. Saya benci kepada individu yang mempunyai agenda tersendiri, menghasut rakyat untuk bergaduh sesama-sendiri. Apabila perpecahan berlaku, kehidupan rakyat akan menjadi susah. Dan pada waktu itu, janganlah toleh kepada saya,” titahnya.