Sultan Johor Mahu HSA Dikembalikan Pada Reka Bentuk Asal

JOHOR BAHRU, 4 Nov – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar mahu reka bentuk asal bangunan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dikekalkan pada masa akan datang.

Sultan Ibrahim bertitah, HSA adalah bangunan warisan di Johor, tetapi banyak ubah suai dan penambahbaikan di buat di kawasan itu. “Berkaitan dengan keadaan HSA, saya sudah maklumkan kepada Menteri Kesihatan yang hospital itu bukanlah kilang sardin.

“Kerajaan mesti membina sebuah hospital baharu yang lebih baik untuk memberikan perkhidmatan yang sempurna. Jangan susahkan rakyat saya.

“HSA adalah bangunan warisan di Johor yang mempunyai banyak sejarah, tetapi malangnya rupa bentuknya sudah banyak dibuat penambahan dan ubah suai. Saya berharap bangunan ini akan dikembalikan kepada reka bentuk asal pada masa akan datang,” titah Baginda.

Baginda bertitah ketika menghadiri majlis Himpunan Bangsa Johor yang diadakan di Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) di sini, semalam.

Sultan Ibrahim turut menyampaikan rasa dukacita dengan bencana yang berlaku di HSA sehingga menyebabkan ada nyawa terkorban.

“Namun, apabila dimaklumkan mengenai apa yang berlaku semasa dan selepas kejadian itu, saya merasa bangga kerana mempunyai rakyat yang bersatu dan berhati mulia.

“Banyak pihak tampil memberikan bantuan tenaga, makanan dan kemudahan untuk membantu mangsa yang terbabit, malah jiran kita Singapura turut menawarkan kemudahan hospital dan wad kepada pesakit yang memerlukan,” titah Baginda. – Berita Harian