Penyumbang Berhak Tahu Bagaimana Dana Politik Dibelanjakan – Razali

KUALA LUMPUR, 2 Nov– Penerimaan dana politik hasil sumbangan pihak lain menuntut integriti yang tinggi oleh parti politik dan penyumbang perlu tahu bagaimana dana itu dibelanjakan, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim.

imagesKatanya, untuk itu cadangan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik akan menyediakan prosedur yang jelas mengenai perolehan dan perbelanjaan dana oleh parti politik di negara ini.

“Bagi saya, banyak persoalan dalam kalangan rakyat bila kita buat kutipan (menerusi kempen seperti) dalam YouTube, dalam laman sesawang. Kita tidak ada prosedur jelas mengenai berapa banyak yang kita kutip, berapa banyak pula yang kita belanja,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2017 peringkat Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Razali berkata usaha mewujudkan akta itu adalah satu perkara yang baik dan merupakan sebahagian daripada Program Transformasi Kerajaan terutama dalam memperbaiki gerak kerja kerajaan dan proses tadbir urus dan memerangi rasuah.

Katanya, Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) telah menjalankan 29 siri konsultasi dan bermesyuarat dengan pelbagai pihak termasuk dari dalam dan luar negara untuk mendapatkan input mengenai pengurusan pembiayaan politik.

Razali berkata penggubalan akta itu akan menyusul dan dibentangkan ke kabinet sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

Persidangan dewan bersambung esok.