Wanita UMNO Johor Sokong Penubuhan Skills Johor

KLUANG, 28 Okt – Menyedari kemahiran adalah amat penting bagi rakyat menaiktaraf kehidupan, Kerajaan Negeri Johor kini membuka ruang dan peluang untuk rakyatnya menimba ilmu melalui penubuhan Skills Johor.

unknown-10Ketua Wanita UMNO Johor Datuk Hajah Sharifah Azizah Datuk Syed Zain berkata, usaha murni kerajan negeri itu seharusnya dipuji dan pergerakan Wanita UMNO akan sentiasa mendokong usaha ini agar ia dapat dijayakan dengan sempurna.

“Pergerakan Wanita UMNO Johor memang menyokong penuh usaha kerajaan negeri ini. Inisiatif Kerajaan Negeri Johor ini akan dapat melahirkan warga Johor yang berkemahiran sekaligus membolehkan mereka yang terlibat mencari peluang pekerjaan dengan lebih baik.

“Saya pasti melalui Skills Johor ini, segala bakat dan kebolehan yang berbeza dapat dicungkil, digilap dan dioptimumkan,” katanya kepada UMNO-Johor.

Jelasnya, pandangan mereka yang tidak berpelajaran tinggi tidak boleh berjaya kini tidak lagi boleh digunapakai kerana mereka yang mungkin tidak berjaya dalam akademik tetapi boleh mencapai kejayaan melalui skill yang digilap.

“Setiap orang mempunyai kelebihan yang tersendiri. Tidak berjaya di dalam akademik tidak bererti seseorang itu tidak akan berjaya dalam hidup. Dalam dunia hari ini kecemerlangan akademik bukan lagi menjadi ukuran atau faktor utama untuk berjaya.

“Oleh itu saya yakin dan percaya, Skills Johor ini adalah platform terbaik bagi menggarap dan membantu kejayaan anak bangsa Johor,” katanya lagi.

Skill Johor ini adalah merupakan agenda besar Kerajaan Negeri Johor dalam melahirkan rakyat Johor yang berkemahiran.

Pembinaan Skills Johor bernilai RM107 juta dan berkeluasan kira-kira 100 ekar itu juga merupakan yang pertama seumpamanya di Malaysia. Ianya mampu menampung kapasiti sehingga 20,000 pelatih tempatan dan antarabangsa setahun apabila siap sepenuhnya kelak.

Ia bakal menyediakan satu dimensi baharu bagi pembelajaran kemahiran kepada pelajar lepasan sekolah dan tenaga kerja sedia ada untuk melatih dan meningkatkan keupayaan diri mereka.

Skills Johor memfokuskan kepada beberapa bidang kemahiran utama iaitu minyak dan gas, logistik, bioteknologi, hospitaliti dan pelancongan, penjagaan kesihatan dan peruncitan serta bahagian khidmat sokongan lain seperti kejuruteraan, elektrik dan elektronik, teknologi maklumat dan kontraktor.

Kewujudan Skills Johor ini juga diharap dapat menampung keperluan dan merapatkan jurang pekerja mahir yang dianggarkan lebih daripada 100,000 orang.

Ini sejajar dengan pertumbuhan pembangunan yang begitu pesat menerusi Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan Minyak dan Petrokimia (RAPID) di Pengerang dan sekitarnya, kawasan pelancongan berintegrasi Desaru Coast serta cadangan pembangunan industri lain di Johor khasnya dan Malaysia amnya.