Kemudahan Hospital Kerajaan Di Johor Mencukupi – Dr Hilmi

JOHOR BAHRU, 28 Okt – Orang ramai tidak perlu risau untuk mendapatkan kemudahan kesihatan di mana-mana hospital kerajaan di Johor meskipun ada perkhidmatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) dihentikan sementara berikutan penilaian keselamatan Bangunan Induk hospital itu.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, ini kerana kemudahan rawatan dan perubatan yang disediakan di hospital kerajaan lain serta khidmat doktor pakar dari HSA ditempatkan di hospital berkenaan.

hilmi-yahyaKatanya selain daripada Hospital Sultan Ismail (HSI), doktor pakar bersama pasukan mereka dari HSA turut dihantar ke Hospital Permai, Hospital Segamat, Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Hospital Mersing dan hospital daerah berhampiran.

“Kita ada 13 dewan pembedahan di HSA dan kita telah menutup 12 daripadanya. Jadi kalau ada pesakit yang memerlukan pembedahan, kita akan hantar ke hospital-hospital berkenaan, maka kita tidak ada masalah untuk membantu masyarakat di Johor Bahru,” katanya kepada pemberita di HSI, di sini hari ini.

HSA menjadi hospital rujukan bagi negeri Johor dan memberi perkhidmatan kepakaran daripada segi perubatan, pembedahan, ortopedik, oftalmologi, neurosurgeri dan menjadi Pusat Rawatan Koronari dan Pembedahan Jantung bagi Wilayah Selatan termasuk Sabah dan Sarawak.

Dr Hilmi berkata perkongsian perkhidmatan serta kakitangan antara HSA dan HSI, susulan penutupan Bangunan Induk HSA, dijangka mengambil masa selama enam bulan.

“Peralatan di sini mencukupi dan kita bukan sahaja memindahkan kakitangan tetapi doktor pakar juga kita tempatkan di HSI,” katanya.

Beliau menegaskan penutupan Bangunan Induk HSA buat sementara waktu itu bertujuan menilai tahap keselamatan bangunan, selain membaik pulih serta menaik taraf bangunan berkenaan secara keseluruhan.

Dalam pada itu, Dr Hilmi memaklumkan keadaan dua jururawat dan seorang pelatih fisioterapi yang terhidu asap tebal dalam kejadian kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Selatan tingkat dua HSA, pada Selasa kini semakin pulih.

Ketiga-tiga wanita itu, Nursuhaily Saliman@Suleiman, 23, Nurul Ain Zulkurnain, 24, dan Siti Nurshafika Mohd Amsah, 21, berada dalam keadaan yang jauh lebih baik meskipun masih berada dalam ICU di HSI.

“Cuma sekarang ini, mereka masih lagi menjalankan rawatan untuk mencuci paru-paru mereka kerana mereka terhidu banyak asap tebal. Mereka telah mendapat rawatan dan perhatian terbaik daripada kakitangan HSI,” katanya.

Bagaimanapun, Dr Hilmi berkata pesakit tunggal yang terselamat dalam kebakaran itu iaitu S. Suppamah, 67, masih berada dalam keadaan kritikal dan dalam pemerhatian.