Johor Ingin Jadi Peneraju Persekitaran Berkarbon Rendah – Ayub

BANDUNG, 27 Okt — Kerajaan negeri Johor terus komited menyusun program bagi menjadi peneraju negeri pertama yang miliki persekitaran berkarbon rendah di negara ini.

unknown-11Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kerajaan negeri telah mula mengambil beberapa inisiatif ke arah rendah karbon dan sebagainya.

“Usaha sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan ianya mendapat sokongan kuat daripada Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang berhasrat untuk menjadikan negeri Johor sebagai negeri peneraju ‘Low Carbon’ pertama di negara ini,” katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Ayub berkata demikian ketika menghadiri Mesyuarat Tahunan Kelima Jaringan Rendah Karbon (LoCarnet) yang berakhir semalam.

Beliau berkata sejajar dengan usaha tersebut kerajaan negeri turut berusaha untuk menjadikan Iskandar Malaysia mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sehingga 50 peratus menjelang 2025 seperti yang digariskan dalam Rancangan Pembangunan Komprehensif di Iskandar Malaysia 2014-2025 (CDPii).

Mengulas mengenai seminar LoCarnet, Ayub berkata penyertaan Johor merupakan satu pengiktirafan kepada kerajaan negeri apabila dijemput berkongsi maklumat dalam menjayakan rancangan Road to 21st Session of the Conference of the Parties (COP21) yang diadakan di Paris, Perancis tahun lepas.

“Ini adalah merupakan pertama kali kita dijemput untuk berkongsi pengalaman mengenai usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri dan mereka (peserta) berminat untuk mengetahui apa yang telah kita lakukan bagi mewujudkan persekitaran berkarbon rendah,” katanya.

Beliau berkata pelbagai program berkonsepkan rendah karbon yang telah dilakukan secara bersama pihak Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan pihak berkuasa tempatan sejak 2012.

Antaranya ialah Program Iskandar Malaysia Eco Life Challenge, Program Eco Village Felda Taib Andak, program penanaman pokok, melengkapkan garis panduan ekonomi hijau dan banyak lagi.

“Seminar ini adalah merupakan satu pendedahan kepada PBT bagi mereka pelajari apa yang harus dilakukan bagi menjayakan usaha mewujudkan persekitaran berkarbon rendah dan juga berkongsi serta bertukar pandangan dengan peserta dari negara lain,” katanya.

Seramai 13 peserta mengikuti seminar tersebut yang terdiri daripada IRDA, Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Baharu Tengah (MPJBT), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) dan Majlis Perbandaran Kulai (MPKU).