Kerajaan Negeri Beri Bantuan Kepada Waris, Mangsa Tragedi HSA

JOHOR BAHRU, 26 Okt- Kerajaan Negeri bersetuju untuk memberikan bantuan kepada waris dan mangsa kebakaran wad unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang mengorbankan enam pesakit semalam.

img_0482Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata keputusan itu diambil pada Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berlangsung pagi tadi.

Beliau berkata, sebanyak RM2,000 akan diberikan kepada keluarga mangsa yang meninggal dunia , RM5,000 bagi mereka yang cedera parah dan RM3,000 kepada yang cedera ringan dalam tragedi berkenaan.

Katanya, Kerajaan Negeri juga sudah mengarahkan Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R Vidyananthan untuk membantu perkara yang berkaitan urusan pengkebumian mangsa.

“Tadi kita sudah buat keputusan, setiap yang meninggal (warisnya) kita akan beri RM2,000 yang berhadapan dengan soal pengkebumian dan sebagainya. Kita akan minta YB Vidyananthan tengokkan, bagi yang cedera parah kita bagi RM5,000, kakitangan hospital kita bagi RM3,000. Itu sumbangan daripada Kerajaan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan penubuhan Unit Swadaya Insan Negeri Johor, di sini, hari ini.

Ketika ditanya keperluan Kerajaan Negeri untuk mewujudkan pelan kecemasan di hospital berkenaan, beliau berkata ia adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan dan berharap akan ada pelan berkenaan bagi mengelakkan kejadian yang sama berulang.

Mengenai penubuhan unit Swadaya Insan Negeri Johor, beliau berkata unit itu mempunyai peranan yang bukan sahaja penting, tetapi strategik untuk masa depan Johor.

“Ia bukan sekadar jadi pusat sehenti untuk mencari pekerjaan dan membangunan kopetensi pelbagai sektor di Johor. Ia harus menjadi badan paling berautoriti dalam hal-hal berkaitan pembangunan dan dasar swadaya insan bagi Johor.

“Unit Swadaya Insan Negeri Johor ini, harus berfungsi sebagai agensi khusus. Yang boleh memastikan penyelarasan perancangan, pelaksanaan inisiatif serta memberikan tumpuan kepada isu penawaran dan permintaan modal insan di negeri Johor.

“Termasuklah menjadi perantara agensi kerajaan dengan sektor swasta dan pihak pelabur,” katanya. – JAUHAR