Keluar Dewan Ketika Pembentangan Bajet 2017 Bukti Pembangkang Biadap – Azalina

KUALA LUMPUR, 24 Okt – Ahli Parlimen Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said melahirkan rasa kecewa dengan sikap pembangkang yang berbuat bising dan meninggalkan dewan rakyat ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak membentangkan Bajet 2017.

dewan-rakyatKatanya, sikap sebegini adalah sangat tidak boleh diterima dan jelas tidak bertamadun.

“Perangai pembangkang ini perangai yang tidak boleh diterima. Apa gunanya masuk ke dewan rakyat jika mempamerkan perangai sebegini. Bajet ini adalah untuk semua rakyat termasuk di negeri pembangkang.

“Kalau beginilah perangai mereka, 2017 jangan minta bajet untuk negeri pembangkang dan rakyat negeri mereka. Jangan suruh rakyat di negeri pimpinan mereka ambil BR1M,” katanya kepada UMNO-Johor.

Tambahnya, pemimpin pembangkang seharusnya menghormati speaker dan institusi perlembagaan yang ada dalam dewan rakyat kerana mereka telah mengangkat sumpah sebagai wakil rakyat.

Justeru itu mereka harus laksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai wakil rakyat.

“Kalau tidak puas hatipun itu hak mereka, bila sampai masa untuk berbahas, bahas la.. nak kutuk ke, nak belasah ke tapi berperangai macamni memang tidak bertamadun.

“Tapi apa yang mengecewakan saya adalah sikap Ahli Parlimen Semporna dan Pagoh terutamanya Pagoh yang meninggalkan dewan. Sepatutnya mereka sebagai mantan pemimpin BN tidak bolehlah perangai macam tu.

“Kalau pembangkang, sudah itu kualiti mereka sebegitu tetapi mereka adalah mantan pemimpin BN,” ulasnya lagi.

Wakil rakyat pembangkang mula berbuat bising apabila Najib menyindir pemimpin pembangkang yang berkata kononnya Malaysia mengharungi ribut ekonomi sukar pada tahun ini.

Speaker, Tan Sri Pandikar Amin Mulia cepat campur tangan dan meminta agar Najib yang juga adalah menteri kewangan tidak diganggu.

Speaker yang gagal mengawal keadaan kemudian menjadi berang dan menjerkah: “Duduk yang berhormat”.

Beliau juga berkata, pihak yang tidak mahu mendengar pembentangan belanjawan itu boleh keluar dari dewan.

Wakil pembangkang bagaimanapun benar-benar keluar dewan dan sempat diperli Najib bahawa rakyat dapat menilai perangai mereka.