Kebakaran HSA: Kerajaan Negeri Ucap Takziah Kepada Keluarga Mangsa

JOHOR BAHRU, 25 Okt – Kerajaan Negeri menzahirkan ucapan takziah kepada waris mangsa yang terlibat dalam tragedi kebakaran di Hospital Sultanah Aminah, pagi tadi.

img_0395-900x506Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, berkata pihak bomba mendapat laporan mengenai kebakaran itu kira-kira pukul 8.50 pagi dan telah berjaya mengawal kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) daripada merebak ke bangunan lain dalam tempoh satu jam.

“Kita ingin menyampaikan rasa dukacita dan takziah kepada keluarga mangsa yang telibat dalam kebakaran di tingkat 2 unit ICU HSA pada pagi tadi.

“Pihak bomba telah mendapat laporan kira-kira jam 8.50 pagi tadi dan bomba telah sampai ke kawasan ini pada pukul 9.05 pagi. Maknanya unit yang pertama sampai telah dapat mengambil tindakan yang segera untuk memadamkan dan mencegah kebakaran daripada merebak dalam masa satu jam,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas meluangkan masa kira-kira 1 jam melawat dan menyerahkan sumbangan kepada waris mangsa kebakaran di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil laporan daripada pihak bomba, seramai enam orang pesakit yang dirawat di unit itu meninggal dunia dalam kebakaran, manakala terdapat beberapa kakitangan cedera parah dalam usaha menyelamatkan pesakit.

“Untuk makluman seramai enam orang mangsa yang telah meninggal dunia manakala kakitangan yang cedera adalah kerana berusaha untuk menyelamatkan pesakit-pesakit,” katanya sambil menambah punca kematian dan kebakaran masih dalam siasatan.

Ujar beliau lagi, pihak bomba sudah membuat pemeriksaan dan mengesahkan bahawa bahagian lain wad di hospital berkenaan selamat untuk digunakan.

“Bomba telah pun menyatakan bahawa mereka mengkuarantin kawasan yang terbakar, tingkat dua itu manakala kawasan lain itu masih dalam keadaan yang selamat, tiada masalah, jadi apabila kebakaran itu berlaku pihak hospital telah memindahkan pesakit kira-kira 400 orang.

“Jadi buat masa ini lain-lain kawasan hospital dinyatakan selamat untuk digunakan oleh pihak bomba,” katanya.

Mohamed Khaled turut memuji dan mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat seperti petugas hospital, bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) dalam menangani situasi ini.

Tambah beliau, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar turut mengambil berat mengenai kejadian itu.

“Tuanku benarkan buat sementara untuk gunakan wad diraja yang lama sebagai tempat untuk pesakit ICU ini diguna.

“Tuanku juga ambil berat dan meminta laporan penuh, selain mahu usaha-usaha baik pulih kawasan tersebut dilakukan dengan segera,” katanya.

Mengenai bantuan kepada waris mangsa, beliau berkata Kerajaan Negeri melalui Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) sudah menyumbang sebanyak RM100,000 untuk keperluan keluarga mangsa dan bantuan keperluan lain.

“MAIJ telah menyumbang sebanyak RM100,000 dan Kerajaan Negeri akan menampung kalau ada apa-apa kekurangan dan sebagainya,” katanya. – JAUHAR