Guna Wad Di Raja, Usaha Baik Pulih Dilakukan Segera – Titah Sultan Ibrahim

JOHOR BAHRU, 25 Okt — Sultan Johor Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar menitahkan supaya Wad Diraja Hospital Sultanah Aminah (HSA) digunakan
untuk merawat pesakit berikutan kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital itu hari ini.

Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata baginda turut menitahkan usaha-usaha membaik pulih hospital berkenaan dilakukan segera.
“Baginda turut meminta satu laporan penuh mengenai kejadian kebakaran di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah yang mengorbankan enam nyawa hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita di HSA, di sini.

14705793_709378312558804_92664236877933110_nWad Diraja HSA itu terletak di tingkat empat sebelah timur bangunan HSA manakala wad ICU terletak di selatan tingkat dua hospital berkenaan.

Terdahulu, Mohamed Khaled mengiringi Sultan Ibrahim dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang berkenan melawat dan melihat sendiri HSA susulan kejadian kebakaran itu.

Sultan Ibrahim dan Raja Zarith Sofia, yang tiba di pekarangan hospital kira-kira pukul 12.40 tengah hari, diberi taklimat oleh Pengarah Kesihatan Negeri Johor Dr Hajah Rooshaimi Merican dan kemudiannya dibawa melihat lokasi kejadian kebakaran.

Baginda berdua yang meluangkan masa kira-kira 30 minit itu, turut diiringi Menteri Besar Johor dan isterinya Datin Seri Rosni Omar serta barisan Exco
kerajaan negeri.

Sementara itu, Mohamed Khaled menyifatkan tragedi itu sebagai iktibar kepada semua pihak dan pengajaran bahawa kemalangan boleh berlaku di mana-mana.
Daripada insiden itu, menurutnya mungkin ada perkara yang boleh dipelajari bagi mengelakkan ia berlaku lagi pada masa depan.

“Daripada taklimat diberi bomba, mangsa-mangsa menggunakan alat pernafasan dan disebabkan itu, mereka tidak boleh bergerak ataupun berada dalam keadaan tidak sedar dan itu mungkin menjadi punca (mereka maut),” katanya.

Mohamed Khaled berkata pihaknya memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri untuk menjalankan siasatan.

Pada masa sama, beliau juga dimaklumkan bahawa pihak bomba telah mengepung blok bangunan yang terbakar manakala bangunan lain diisytiharkan masih
selamat.

Mohamed Khaled turut mengumumkan Majlis Agama Islam Negeri Johor akan menghulurkan RM100,000 sebagai bantuan kepada mangsa dan waris mangsa terlibat.

Dalam kejadian yang bermula 8.56 pagi itu, enam pesakit, terdiri daripada empat wanita dan dua lelaki maut. Mereka adalah antara tujuh pesakit di ICU
berkenaan manakala seorang pesakit lagi ditemui selamat dan masih dirawat di HSA.

Dua kakitangan HSA dihantar ke Hospital Sultan Ismail manakala seorang lagi petugas dirawat di HSA akibat terhidu asap.

Operasi memadam kebakaran dan menyelamatkan mangsa bermula pukul 9.05 pagi itu tamat sepenuhnya pada 11.25 pagi.