Kerajaan Johor Mahu #Bajet2017 Diagihkan Secara Adil, Elak Ketirisan

JOHOR BAHARU, 22 Okt — Kerajaan negeri Johor berharap agar Kerajaan Persekutuan dapat memastikan peruntukan Bajet 2017 dapat diagihkan secara saksama dan selari dengan dasar yang dilaksanakan bagi memastikan ketirisan tidak berlaku.

unknown-17Menteri Besarnya Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana terdapat jurang antara pelaksanaan dan dasar yang dijalankan selain memberi perhatian samada peruntukan yang diagihkan benar-benar diterima oleh mereka yang layak dan memerlukan.

“Biasanya akan terdapat jurang antara dasar dan pelaksanaan, contohnya, Perdana Menteri mengumumkan peruntukan bagi membaiki dan membantu rumah pangsa di dalam bandar.

Jadi bagaimana kita dapat memastikan ia benar-benar sampai kepada mereka yang memerlukan kerana ada beberapa tempat sahaja yang banyak rumah pangsa seperti di Johor Bahru, Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Selangor,” katanya kepada media selepas menghadiri program Johor Future 2016 di Kampung Kuala Masai, Pasir Gudang, di sini, hari ini.

Oleh itu beliau berkata tentukan mereka yang betul-betul layak supaya manfaat yang disediakan terlaksana selari dengan dasar kerajaan dan dilakukan secara saksama tanpa ketirisan.

Jika tidak, sampai bila-bila peruntukan tidak cukup dan apabila kerajaan berjaya memberikan bantuan kepada mereka yang layak, hasratnya untuk menjana ekonomi dan meningkatkan taraf hidup rakyat akan berjaya direalisasikan, katanya.

“Kita lihat Program Bantuan Usahawan Tani sebanyak RM100 juta kepada 3,000 orang, kita tidak boleh main pilih sahaja asalkan cukup orang, kita kena teliti dengan pemilihan kita supaya apabila usahawan tersebut berjaya mengembangkan perniagaannya, dia boleh memberi pekerjaan kepada orang lain dan tidal bergantung lagi kepada bantuan kerajaan.

Mohamed Khaled berkata, kerajaan Johor memberikan sokongan kepada kerajaan pusat dan percaya segala peruntukan dapat diberikan kepada rakyat sekali gus memenuhi kehendak negeri ini yang sedang pesat membangun.

“Buat masa ini, kita sedang mengkaji sebab pengumuman itu dibuat secara umum, jadi biasanya kita akan tunggu seminggu dua sebelum kita dapat senarai projek-projek yang dinyatakan ataupun sektor-sektor yang telahpun diumumkan oleh Perdana Menteri.

Kalau kita lihat pembentangan semalam turut menumpukan soal pembinaan bakat dan kemahiran menerusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang selari dengan perancangan kerajaan negeri, jadi saya percaya kita akan berusaha melaksana dan menjayakan hasrat kerajaan pusat tersebut,” katanya.

Beliau juga memuji keprihatinan kerajaan pusat terhadap cabaran kehidupan semasa daripada soal meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada pengecualian duti setem yang dinaikkan kepada 100 peratus ke atas surat cara pindah milik dan surat cara pinjaman perumahan bagi membantu mengurangkan kos pemilikan rumah pertama.

“Jadi insiatif-inisiatif yang dibentangkan itu mengenai golongan 40 peratus isi rumah terendah (B40) dan pertengahan (M40) yang saya percata bertepatan dengan keadaan semasa terutamanya dari segi peningkatan kos sara hidup,” katanya.