Kerajaan Laksana Pelbagai Insentif Bantu Masyarakat Luar Bandar

KUALA LUMPUR, 21 Okt  — Kerajaan memberikan perhatian kepada soal pemilikan rumah dalam kalangan masyarakat di luar bandar menerusi pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti dalam kalangan generasi kedua Felda, Felcra dan Risda selain masyarakat Orang Asli dan golongan yang memerlukan.

57e0a9c8-f04a-4efd-abd5-dd8ee268f466Menurut Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, antara inisiatif itu adalah Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF), Perumahan Generasi Kedua Felcra dan Projek Perumahan Generasi Kedua Risda (PPGKR) bagi meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan generasi kedua itu.

Sejumlah 8,470 unit rumah di bawah projek PGBF sedang dalam proses pembinaan terutama di Wilayah Kuantan, Pahang (1,904 unit); Wilayah Raja Alias, Negeri Sembilan (1,683 unit); Wilayah Johor Bahru, Johor (1,499 unit) dan Wilayah Jengka, Pahang (230 unit) pada akhir Ogos tahun ini.

Bagi generasi kedua Felcra pula, pada akhir Ogos 2016, sejumlah RM4 juta telah dibelanjakan untuk pembinaan 1,183 unit rumah terutama di Tembeling Tengah, Pahang (230 unit); Tembangau, Pahang (216 unit); Bukit Sedanan, Melaka (106 unit) dan Lekir, Perak (102 unit).

PPGKR pula telah dilancarkan pada Ogos tahun ini dan pembinaan 100 unit rumah telah bermula pada bulan lepas.

Selain itu, kerajaan memperkenalkan Program Bantuan Rumah (PBR) untuk membolehkan masyarakat Orang Asli tinggal di rumah yang selesa.

Di bawah program itu, 512 unit rumah akan dibina di kawasan penempatan Orang Asli, dengan kerja pembinaan di Kelantan, Negeri Sembilan, Pahang, Perak dan Selangor yang bermula Mei lalu dijangka siap pada bulan hadapan.

Selain daripada program PBR untuk Orang Asli, kerajaan juga menyediakan bantuan kewangan dan pengurusan melalui program yang sama untuk isi rumah miskin dan miskin tegar di luar bandar.

Inisiatif itu memberi tumpuan kepada pembinaan atau membaik pulih rumah untuk warga emas, uzur, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal dan sejumlah RM123.3 juta telah dibelanjakan bagi memanfaatkan 5,972 peserta pada akhir Ogos tahun ini.