Jangan Lemah Semangat Untuk Terus Perkasakan Lagi Parti- Maulizan

TEBRAU, 21 Okt – Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Hj Maulizam Bujang menyeru ahli parti khususnya di bahagian berkenaan agar terus bersemangat dalam usaha menguatkan lagi parti demi melaksanakan tanggungjawab terhadap masyarakat.

unknown-9Katanya dugaan yang dihadapi pada hari ini memerlukan semua pihak untuk sama-sama terus berganding bahu dan bukannya mengambil jalan yang tidak sepatutnya kerana akhirnya akan merugikan perjuangan parti itu sendiri.

“Kita seharusnya menerima hakikat bahawa kita berhadapan dengan dugaan dan cabaran pada ketika ini. UMNO dilihat lemah disebabkan ianya sekali lagi berpecah kerana permasalahan yang kita hadapi pada ketika ini.

“Kita menerima kepelbagaian pendapat dan pendirian namun terpulang kepada mana-mana pihak untuk meneruskan perjuangan yang ingin dialui. Apa pun saya tetap beristiqamah untuk teruskan perjuangan melalui wadah UMNO yang kita sayangi ini.

“Kita kena terima hakikat bahawa untuk berbakti kepada masyarakat kita perlukan suatu wadah yang sesuai dengan asas perjuangan yang kita dukong. Parti tidak pernah bersalah. Asas perjuangan yang termaktub didalam perlembagaan juga tidak pernah berubah.
Jasa UMNO terlalu besar untuk kita korbankan parti yang telah membela anak bangsa dan agama kita. UMNO telah mengubah anak pemandu teksi, anak buruh, anak nelayan dan sebagainya lagi menjadi insan yang berjaya,” katanya.

Kata beliau lagi yang juga Ketua UMNO Tebrau selagi asas perjuangan tidak dikhianati selagi itulah parti perlu dipertahankan.

“Pemimpin datang dan pergi, tiada yang kekal abadi. Selagi asas perjuangan tidak dikhinati, selagi itu UMNO perlu dipertahankan. Dalam konteks UMNO di peringkat negeri dan bahagian, insya Allah kita akan sama-sama teruskan perjuangan.

“Menteri Besar Johor, Datuk Seri Khaled Nordin dah buktikan pelbagai rancangan dan tindakan dibuat untuk membantu rakyat. Semua peringkat telah berkerja keras siang dan malam untuk membantu saya menguatkan parti.

“Janganlah kita lemah semangat atau memencilkan diri. Kukuhkan persahabatan, persaudaraan dan tekad kita untuk bekerja. Bagi yang tetap dengan keputusan memilih jalan lain, kita ucapkan terima kasih kerana sebelum ini bersama dengan kita dan bekerja untuk kita,“katanya.