BR1M Beri Limpahan Langsung Kepada Ekonomi Negara #Bajet2017

KUALA LUMPUR, 21 Okt — Pelaksanaan program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mula diperkenalkan pada 2012 menyaksikan limpahan langsung kepada ekonomi negara termasuklah peningkatan dalam pendapatan boleh guna isi rumah, peningkatan penggunaan swasta dan peningkatan output barangan pengguna.

cvr7nntukaaemoyMenurut artikel sisipan di dalam Laporan Ekonomi 2016/17 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan, pada 2014, bahagian isi rumah berpendapatan bawah RM3,000 berkurangan hampir separuh kepada 24.3 peratus (2009: 52.7 peratus) manakala isi rumah berpendapatan antara RM3,000 dan RM5,000 telah meningkat ketara kepada 30.6 peratus (2009: 23.1 peratus).

Berikutan pendapatan isi rumah yang semakin meningkat, kadar kemiskinan telah mengecil kepada 0.6 pada 2014, manakala Pekali Gini telah bertambah baik dalam tempoh sama, yang menyaksikan pengurangan jurang ketidaksamaan pendapatan kepada 0.401 daripada 0.441 pada 2009.

(Pekali Gini, dengan nilai berada antara “0” dan “1”, adalah satu kaedah yang digunakan untuk mengukur ketidaksaksamaan. Nilai “0” mewakili “kesaksamaan sempurna” dan “1” mewakili “ketidaksaksamaan sempurna”.)

Menurut laporan itu, pendapatan boleh guna isi rumah adalah penentu utama penggunaan swasta, menyumbang secara purata 67.4 peratus daripada pertumbuhan penggunaan swasta.

cvr7eixusaa632wPeningkatan pendapatan isi rumah berpendapatan rendah, akan menyumbang kepada pertumbuhan penggunaan swasta kerana golongan ini mempunyai kecenderungan marginal yang lebih tinggi untuk berbelanja.

Satu kajian oleh Bank Negara Malaysia menunjukkan isi rumah berpendapatan kurang daripada RM1,000 sebulan secara purata akan membelanjakan 81 sen daripada RM1 pendapatan tambahan berbanding 18 sen bagi isi rumah berpendapatan lebih daripada RM10,000 sebulan.

Antara 2012 dan 2015, BR1M menghasilkan peningkatan penggunaan swasta sebanyak 7.1 peratus secara purata berbanding 6.8 peratus tanpa pindahan tunai.

Bayaran tunai BR1M bertujuan mengurangkan kesan kos sara hidup tinggi kepada golongan 40 peratus isi rumah terendah (B40).

Kesan segera BR1M dicerminkan oleh peningkatan pendapatan boleh guna kumpulan B40, yang seterusnya meningkatkan pembelian barangan keperluan asas seperti makanan dan kediaman.

Peningkatan ini secara tidak langsung merancakkan aktiviti domestik melalui penambahan pengeluaran barangan pengguna, ia terbukti dengan peningkatan dalam pengeluaran industri berkaitan pengguna seperti kediaman, makanan dan minuman, kenderaan bermotor, pemilikan kediaman, tempat penginapan, eletrik dan gas serta kewangan dan insurans.

BR1M merupakan satu bentuk pemberian tunai bersyarat yang diberikan sebagai bayaran tunai kepada isi rumah berpendapatan bulanan bawah RM3,000 dan RM2,000 bagi individu. Pada 2014, bantuan BR1M diperluaskan kepada isi rumah berpendapatan bulanan antara RM3,000 hingga RM4,000.

Pada akhir September 2016, sejumlah RM5.4 bilion telah diagihkan kepada 4.2 juta isi rumah dan 3.1 juta individu bujang.