Ahli MT Harus Turun Ke Negeri Angkat Bagi Terapkan ‘Winning Mentality’ – Jais

KLUANG, 21 Okt – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor Datuk Md Jais Sarday menyeru agar Ahli Majlis Tertinggi turun ke negeri angkat masing-masing bagi memberikan kefahaman kepada akar umbi berkaitan ‘Winning mentality’.

unknown-4Jelasnya, perkara ini amat penting untuk jentera parti membentuk semangat bagi terus mempertahankan parti dan kerajaan.

“Jika tidak ada semangat untuk menang maka bagaimana jentera mahu bergerak. Kita memang sedang hadapi pelbagai cabaran dalaman parti tetapi harus diingat, parti pembangkangpun sedang kucar-kacir. Mereka sendiri sedang dilambung ombak dan tidak ada tunjuk arah yang tepat serta bercakaran sesama sendiri.

“Oleh itu, ahli majlis tertinggi harus memainkan peranan dan turun ke negeri angkat masing-masing agar jentera terus bersemangat untuk berjuang. Jangan kita biarkan presiden dan timbalannya sahaja yang berjuang. Kepimpinan lain harus turut bersama-sama kerana ini adalah tanggungjawab bersama,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Jais, jika ahli UMNO tidak mempunyai ‘winning metality’ ini maka akan ramailah ahli yang tidak tahan dan mudah terpengaruh apabila digasak dan dimomokkan oleh pihak pembangkang dengan perkara-perkara yang tidak betul.

Oleh itu jelasnya, ahli UMNO harus terus bersatu bagi mempertahankan institusi presiden sekaligus terus menanam pemikiran ‘winning mentality’ agar ianya menjadi inmun di dalam diri apabila cuba dipengaruhi oleh anasir-anasir tidak sihat.