Sibuk Pilihanraya Mengejut Tapi Bila Menang Wakil Rakyat Dap Hilang Dari Kawasan – Adam

KUALA LUMPUR, 19 Okt – Dap Johor dinasihatkan agar tidak membuat lawak kebudak-budakkan dengan mendakwa bersedia untuk menghadapi pilihan raya mengejut negeri Johor.

Sebaliknya, Ketua Penerangan UMNO Bahagian Johor Bahru, YB Datuk Adam Sumiru menasihatkan wakil-wakil rakyat pembangkang khususnya dari Dap yang telah pun memenangi kerusi pada PRU13 yang lalu agar membuat kerja-kerja yang sepatutnya untuk membaiki kehidupan rakyat dari sibuk kononnya membuat persiapan menghadapi pilihanraya mengejut.

adam-sumiru-dap“Apa yang kita nampak, mereka sekadar nak menang kerusi pilihanraya, tapi selepas menang semuanya hilang entah ke mana. Ada sebahagian mereka sekadar jadi YB media sosial dan sekadar meletakkan seorang pegawai khas di kawasan yang mereka menangi sekadar mengaburi mata rakyat dan pengundi di kawasan tersebut.

“Mereka hanya akan kembali apabila dekat-dekat dengan pilihan raya, dan kebanyakan besar pemimpin Dap ini akan melompat-lompat dari satu kawasan ke kawasan lain untuk menyelamatkan nyawa politik mereka.

“Oleh kerana itu, jangan hairan jika selepas menang pilihan raya, mereka hilang dan tidak melaksanakan tanggungjawab mereka sebagai wakil rakyat kawasan tersebut dan hanya akan meletakkan tanggungjawab tersebut kepada pemimpin-pemimpin dari BN dan kerajaan negeri untuk meneruskan kerja membela rakyat di kawasan yang mereka menangi,” ujarnya yang juga ADUN Tanjung Puteri.

Tambahnya, Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Mohamed Khaled Nordin telah pun menafikan desas-desus mengenai kemungkinan pilihanraya mengejut negeri Johor ini.

“Saya pun nak tanyalah pada Liew Chin Tong ini, siapa sebenarnya yang layak dan berkuasa untuk membubarkan DUN Johor? Adakah dia sebagai pengerusi Dap Johor, atau Datuk Khaled Nordin sebagai Pengerusi UMNO Johor ataupun Sultan Johor?

“Jadi, nasihat saya nilailah perkhidmatan yang telah mereka (Dap Johor) berikan kepada rakyat khususnya di kawasan-kawasan yang telah mereka menangi pada PRU13 lalu. Jangan ghairah untuk kembali ke `medan perang PRU’ sekadar untuk menang PRU tapi mencampakkan tanggungjawab mereka kepada pemimpin BN selepas menang dan rakyat juga harus menilai sendiri, khidmat dan kerja pemimpin pembangkang ini sebelum memikirkan untuk sekali lagi memberikan undi kepada mereka pada PRU14 yang akan datang,” ujarnya lagi. – UMNOOnline