Seramai 1800 Ahli Dan 2000 Pengundi Baharu Bukti UMNO Pagoh Terus Kukuh – Zaid

PAGOH, 21 Okt – Penambahan bilangan ahli UMNO dan pendaftaran pengundi baharu sejak kebelakangan ini di Pagoh bukan satu retorik palsu tetapi hakikat sebenar situasi di kawasan tersebut yang memperlihatkan sokongan akar umbi terhadap UMNO kekal kukuh, demikian penegasan Ketua Pemuda UMNO Pagoh, Mohd Zaid Abd Rahman.

unnamedJelas beliau gambaran kononnya berlaku tsunami politik di Johor khususnya di kawasan Pagoh ternyata satu propaganda politik untuk menghakis kepercayaan rakyat seperti lazimnya digunakan oleh pembangkang.

“Kita telah turun kepada akar umbi untuk mendapatkan respon dan meninjau perkembangan politik setempat. Dan kita dapati sokongan ini bukan sekadar datang dari anggota UMNO sendiri, sebaliknya rakyat dan pengundi di sini percaya bahawa kepimpinan UMNO dan BN di kawasan ini akan meneruskan politik pembangunan yang telah dilaksanakan sebelum ini di sini.

“Namun kita tak nafikan, ada anggota kita yang berpaling menyertai parti baru pimpinan bekas pemimpin kita di sini, namun jumlah mereka tidaklah ramai berbanding dari keseluruhan ahli UMNO di Bahagian Pagoh ini”, katanya kepada UMNO-Online di sini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed baru-baru ini yang menyatakan masyarakat Pagoh masih setia dan sayangkan parti UMNO walaupun pemimpin bertukar dan hanya sebilangan kecil sahaja iaitu lebih kurang 10 peratus ahli UMNO yang tukar parti.

“Sehingga kini, UMNO Pagoh telah mendaftar 1,800 anggota baharu dan juga  mendaftar 2,000 ahli sebagai pengundi baharu menerusi usaha yang dilakukan UMNO Bahagian Pagoh”, ujarnya.

Zaid seterusnya percaya organisasi UMNO yang telah begitu mantap di Pagoh akan dapat meneruskan agenda “politik pembangunan” yang telah dilaksanakan selama ini.

“Meskipun masih banyak yang perlu diusahakan dari sudut khidmat dan pembagunan di Pagoh, namun rekod pencapaian khidmat dan pembangunan kita konsisten dan dapat dirasai serta diakui oleh seluruh masyarakat di Pagoh,” katanya.

Ujarnya lagi, ironinya kawasan yang kurang diberi perhatian dan banyak ketinggalan dari sudut pembangunan infra setempat ini adalah di kawasan DUN Jorak yang kurang di beri perhatian oleh YB sedia ada, yang dulunya menang atas tiket BN namun kini berubah angin untuk bersama parti baru dalam kumpulan pembangkang.

“Ketika dalam BN pun kurang berperanan untuk masyarakat, apatah lagi sekarang ini telah menjadi ADUN pembangkang, sudah tentu tidak akan dapat berperanan sebagai wakil rakyat yang dapat membantu masyarakat.

“Kita percaya masyarakat di Pagoh telah cukup matang dalam menentukan pemimpin yang bagaimanakah yang mereka akan pilih untuk membela nasib rakyat di Pagoh. Pemimpin datang dan pergi, namun agenda perjuangan membela agama, bangsa, negara dan masyarakat di Pagoh ini akan tetap menjadi keutamaan kami di sini,” tambahnya lagi. – UMNOOnline