Rakyat Buat Pilihan Berdasarkan Parti Yang Ada ‘Track Record’ – Suhaimi

TANJONG PIAI, 21 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan Kukup, YB Suhaimi Salleh percaya rakyat akan membuat pilihan berdasarkan ‘track record’ dan bukannya memilih berdasarkan retorik yang dijaja oleh parti pembangkang termasuklah kemunculan parti baharu.

unknown-3Menurut beliau keupayaan Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin dan barisan kepimpinan negeri lain telah memperlihatkan satu kemampuan dan satu pelaksanaan yang cukup baik untuk rakyat Johor.

“Justeru pada saya itulah yang akan menjadi pertimbangan rakyat. Mereka tidak akan mudah terpedaya dengan segala janji dan segala retorik oleh parti baharu dan parti pembangkang lain yang cuba menghimpit negeri ini.

“Kita sama sekali bukanlah angkuh dan sombong namun itulah realitinya kerana rakyat mahukan parti yang benar-benar mampu melaksanakan tanggungjawab dan wakil rakyat yang menjadi jambatan kepada mereka.

“Inilah yang saya nampak dan kita percaya kerajaan akan terus melaksanakan yang terbaik untuk rakyat demi kesejahteraan bersama,” katanya kepada UMNO-Johor, baru-baru ini.

Beliau seterusnya percaya pembangkang akan terus menghimpit negeri berkenaan dan akan terus melontarkan pelbagai retorik dalam usaha menarik simpati dan sokongan daripada masyarakat setempat.

Justeru katanya rakyat perlu membuat pertimbangan sebaik mungkin dengan melihat secara mendalam segala usaha dan perancangan yang akan dibuat serta dilaksanakan oleh kerajaan negeri.

“Kita tidak akan berpeluk tubuh sebaliknya akan terus melipatgandakan segala usaha dalam memastikan perjuangan murni ini terus mendapat kepercayaan rakyat,” katanya.