Kembara Kebajikan Muafakat Johor Bermula Esok

KOTA ISKANDAR, 20 Okt – Seiring dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan keseimbangan dalam pembangunan rakyat dan negeri, Program Kembara Kebajikan Muafakat Johor akan diadakan bermula esok hingga 23 Oktober ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia Negeri Johor, Vidyananthan Ramanandan berkata, kembara konvoi di bawah Program Bantuan Inklusif Masyarakat India 2016 itu diadakan bersempena sambutan perayaan Deepavali yang bakal disambut oleh masyarakat India penghujung bulan ini.

“Kembara konvoi yang membawa semangat perpaduan itu akan menjelajah di 10 lokasi terpilih di Johor, membabitkan kawasan luar bandar bagi menyelami kehidupan masyarakat India.

“Selain penyampaian bantuan kebajikan, konvoi juga berjaya menarik penglibatan agensi-agensi kerajaan, pihak NGO dan swasta untuk turut serta dan menyampaikan maklumat berkenaan bidang kemahiran, pendidikan dan keusahawanan kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Antara lokasi yang terlibat adalah Rumah Anak Yatim Ulu Tiram; Ladang Tai Tak, Kota Tinggi; Padang Kahang, Kahang; Dewan Bell Belia India, Bandar Kluang; Kampung MIC Kluang; Dewan Orang Ramai Yong Peng; Pusat Khidmat MIC Pagoh; Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Lanadron; SJKT Labis, Sekijang dan Kem PLKN Nasuha di Pagoh.

Vidyananthan berkata, menerusi program itu, masyarakat India juga akan didedahkan dengan peluang-peluang pendidikan, kemahiran dan kerjaya ketika berkunjung ke lokasi kembara diadakan.

“Penganjuran program itu selari dengan usaha dan hasrat Kerajaan Negeri bagi memastikan kesejahteraan masyarakat yang seimbang dan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat hasil pembangunan negeri.

“Malah, peluang itu juga harus digunakan sebaiknya ke arah memperkasakan ekonomi negeri menjadi sebuah kuasa ekonomi baharu selatan tanahair,” katanya.

Menurutnya, karnival itu yang bakal bermula esok di Dewan Raya Masai, Pasir Gudang, melibatkan penyertaan 20 majikan dan 20 pusat kolej kemahiran dan institusi pengajian tinggi.

“Ia mendapat kerjasama daripada JobsMalaysia dan Jabatan Tenaga Kerja yang menawarkan peluang kepada anak-anak muda atau pencari kerja di sekitar Pasir Gudang untuk mengisi kekosongan jawatan yang disediakan oleh syarikat-syarikat yang diundang.

“Selain daripada maklumat kerjaya, pengunjung juga akan diberi taklimat mengenai tawaran-tawaran kursus kemahiran dan peluang melanjutkan pelajaran di pusat-pusat pengajian yang turut serta,” katanya.

Dalam pada itu, Vidyananthan berkata Karnival Usahawan Masyarakat India juga bakal diadakan pada 22 dan 23 Oktober di Dataran Segamat.

Ia akan menawarkan pelbagai barangan dan perkhidmatan daripada usahawan masyarakat India.

“Karnival dengan kerjasama Pembangunan Usahawan Nasional Berhad itu turut akan dimeriahkan dengan pameran daripada agensi-agensi karnival kembara yang terlibat,” katanya.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam, yang juga Ahli Parlimen Segamat dijadualkan menutup program kembara itu dan orang ramai dijemput hadir.