Peruntukan RM20 Juta Biayai Pelajar Di Hab Kemahiran Johor

KOTA TINGGI, 18 Okt – Kerajaan Persekutuan bersetuju memperuntukkan RM20 Juta setahun bagi membiayai pelajar yang bakal mengikuti pengajian di Hab Kemahiran Johor.

14681987_799184493553463_1504211606558462640_oTimbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Kerajaan Persekutuan mengiktiraf dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang bersungguh-sungguh membangunkan pendidikan latihan teknik dan vokasional (TVET) di Johor dengan hanya menggunakan kewangan negeri sendiri.

Katanya, usaha murni itu amat disokong oleh Kerajaan Persekutuan kerana ia adalah satu pendekatan melahirkan ramai tenaga mahir untuk keperluan industri dalam negara.

“Johor bukan sahaja dapat membina kemudahan pendidikan tetapi menyaingi institusi yang dibuat oleh pelbagai institusi dan kementerian yang harus dibanggakan oleh seluruh rakyat Johor.

“Maka tentunya saya merasakan hab kemahiran Johor memberikan tumpuan kepada pendidikan vokasional harus disokong oleh Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hab Kemahiran Johor di sini, hari ini.

Katanya, kerajaan juga sentiasa memberi penekanan kepada agenda TVET kerana seiring dengan kemajuan dan pembangunan negara maka sudah tentunya pasaran kerja memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir.

“Jika bakat serta kemahiran anak muda tidak dilatih, dibimbangi peluang pekerjaan yang ditawarkan berdasarkan kemahiran akan dikuasai oleh warga asing.

“Ia sekali gus tidak selari dengan matlamat kerajaan yang menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan termasuk bidang berkemahiran tinggi,” katanya.

Hub Skills Johor itu akan dibina di tanah seluas 40 hektar berhampiran kampus induk YPJ.

Ia disasarkan menampung sehingga 20,000 pelatih tempatan dan antarabangsa apabila telah siap nanti.

Kerajaan Negeri Johor bersama Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) akan mengeluarkan peruntukan sebanyak RM107 juta bagi tujuan tersebut.

Ia akan meliputi kemudahan asas seperti, kelas, makmal, bengkel, dewan syarahan, surau, pusat sukan dan rekreasi, pusat makanan dan minuman serta medan aktiviti pelatih.

Hadir sama pada majlis itu ialah Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Nordin; Speaker Dewan Negeri, Tan Sri Mohamad Aziz; Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Ismail Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri, Datuk Md Jais Sarday. – JAUHAR