Johor Bakal Ada Pasukan Hoki, Berentap Di Liga Hoki Malaysia – Jais

JOHOR BAHRU, 17 Okt — Persatuan Hoki Johor dalam persiapan menubuhkan sebuah pasukan hokinya sendiri bagi membolehkan ia bertanding di Liga Hoki Malaysia (MHL) pada musim depan.

Presidennya Datuk Md Jais Sarday berkata ketika ini, sudah terdapat 40 anak jati Johor yang rata-ratanya berusia bawah 18 tahun, tersenarai bagi membarisi pasukan itu.

14681667_684748328355148_3414768986577702531_nMenurutnya, penubuhan pasukan ini adalah peluang penting untuk pihaknya mendedahkan anak-anak muda kepada lebih banyak pengalaman, sebelum Johor menghoskan Sukan Malaysia (Sukma) pada 2020.

“Kita tidak sasarkan untuk mereka menang atau berada di tangga ketiga atau kelima teratas MHL.

Cukup sekadar untuk memberi pendedahan dahulu,” kata beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri.

Md Jais berkata demikian kepada pemberita selepas pelancaran Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun Piala Sultan Johor 2016 (SOJC) kali keenam, di sini hari ini.

Ia disempurnakan oleh Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Sultan Ibrahim dan turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Md Jais berkata pada ketika ini, persatuan belum menetapkan nama khusus untuk pasukan itu, namun apa yang pasti pelancaran pasukan akan dibuat sebelum Februari depan.

“Sempena penubuhannya, kita turut mengalu-alukan mana-mana pemain hoki Johor yang sedang bersama dengan kelab-kelab lain agar menyertai pasukan ini, meskipun kita tahu tahap pencapaian mereka sudah berbeza,” katanya.

Mengenai kejohanan hoki SOJC, Md Jais berkata sebanyak RM1.45 juta tajaan telah berjaya dikumpul bagi menjayakan penganjurannya.

Penaja terbesar adalah kerajaan negeri dengan sumbangan RM500,000; diikuti Astaka Padu (RM200,000); Johor Corporation, Tenaga Nasional Berhad, UM Land, Yayasan Harmoni dan JBB Builder masing-masing RM100,000 dan Iskandar Waterfront, UniKL, SAJ Holdings Berhad, BCB Berhad dan Malakoff masing-masing sebanyak RM50,000.

Kejohanan disertai enam pasukan dari Pakistan, Australia, New Zealand, Malaysia, England dan Jepun itu akan berlangsung mulai 31 Oktober ini hingga 6 Nov di Stadium Hoki Taman Daya, di sini.