2,780 Rumah Mampu Milik Dibina Di Sri Gading, Batu Pahat

BATU PAHAT, 17 Okt — Menyedari keperluan perumahan bagi menjamin kesejahteraan rakyat, kerajaan Johor menerusi anak syarikatnya, JCorp komited membina 2,780 rumah mampu milik Taman Mutiara Sri Gading, di sini.

14725520_684829341680380_5787794710514805036_nMenteri Besar, Datuk Mohamed Khaled Nordin berkata projek yang dibangunkan di atas tanah seluas 95.5 hektar meliputi 1,599 rumah teres dua tingkat, 1,060 rumah kos rendah dan sederhana, manakala bakinya terdiri daripada pejabat, kedai sederhana dan lot komersial.

“Kesemua projek ini bakal memberi kemudahan yang baik kepada kawasan ini, khususnya memberi peluang kepada masyarakat untuk memiliki rumah,” katanya kepada media selepas majlis pelancaran Taman Mutiara Gading dan pembinaan Hospital Pakar KPJ Batu Pahat, di sini hari ini.

Beliau berkata rumah tersebut akan dijual pada harga RM42,000, RM80,000 dan RM180,000 mengikut jenis rumah.

“Bagi memastikan masyarakat dapat membeli rumah pada harga rendah, kerajaan negeri menanggung subsidi sebanyak RM15 juta dengan mengorbankan dividen daripada projek tersebut,” katanya.

Mohamed Khaled berkata apa yang lebih penting adalah manfaat yang bakal diterima rakyat iaitu dapat membeli rumah dengan harga yang rendah.

Beliau berkata sehingga kini JCop telah menyediakan 30,000 kediaman dan hari ini ianya dikembangkan ke daerah Batu Pahat bagi memastikan seluruh rakyat dapat merasai nikmat kepesatan ekonomi negeri yang berkembang pesat.

Pada masa sama, Mohamed Khaled berkata kesihatan bukan lagi pilihan sebaliknya merupakan keperluan bagi masyarakat hari ini dan berikutan itu, Hospital Pakar KPJ buat pertama kali dibina di Batu Pahat dengan kos RM90 juta.

Beliau berkata hospital dengan kapasiti 240 katil untuk projek fasa pertama yang dijangka siap pada 2018, bakal memberi kemudahan kesihatan kepada penduduk tempatan yang tidak perlu lagi ke daerah lain bagi mendapat rawatan pakar.

“Penambahan satu lagi hospital pakar swasta ini membantu usaha kerajaan negeri menjadikan Johor sebagai hab pelancongan kesihatan di rantau ini,” katanya.