Johor Pertimbang Pendekatan Baharu Mantap Sistem Pengangkutan Awam

ISKANDAR PUTERI, 16 Okt  — Johor sedang mempertimbang untuk memperkenal pendekatan baharu dalam memperbaiki serta memantapkan sistem pengangkutan awamnya.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pendekatan itu antaranya ialah menyekat kenderaan berat masuk ke kawasan tertentu di bandar, serta mencadangkan laluan khas kepada pengangkutan tersebut di jalan berkepadatan tinggi.

JB02_161016_TERMINAL BASBeliau berkata pihaknya juga berhasrat untuk memperkenalkan penggunaan kaedah pengangkutan lain bagi tujuan pengiriman barang seperti keretapi yang didapati lebih murah dan mesra alam berbanding penggunaan lori.

Langkah lain pula ialah mungkin mewujudkan rangkaian koridor pengangkutan berat dan sistem mobiliti barangan (E-logistik) bagi memajukan operasi sistem logistik yang lebih cekap, serta memperkenalkan konsep logistik bandaran bagi mengurangkan tahap kesesakan trafik di pusat bandar, katanya.

“Kalau kita tidak buat begitu, pengangkutan akan terus menggunakan mod seperti lori dan ini akan menyumbang kepada kesesakan jalan, jambatan retak dan malah memaksa kita kena kerap menyelenggara jalan.

“Oleh itu untuk pendekatan menyekat kemaskan lori, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) boleh melakukan kajian mengenai waktu kesesakan di bandar.

“Apabila sudah siap, mereka perlu berjumpa dengan para pemain industri dan memaklumkan tentang kajian mereka,” kata beliau kepada pemberita selepas merasmikan Terminal Bas dan Teksi Gelang Patah dan pelancaran perkhidmatan Bas TransJohor dan Pelan Induk Pengangkutan Awam Negeri Johor, di sini hari ini.

Terminal bas berkeluasan 1.7 ekar itu mula dibina pada 1 Sept 2014 dengan kos keseluruhan RM6.8 juta dan siap sepenuhnya pada 2 Ogos lalu.

Ia juga berada dalam lingkungan kemudahan utama seperti klinik kesihatan, sekolah, bank dan balai polis yang sekali gus turut menjadikan ia sebagai pusat transit daripada Gelang Patah ke Singapura, pusat dan kawasan sekitarnya.