Masih Ramai Penyokong BN Di Pagoh – Ismail

TANGKAK, 9 Okt — Penambahan bilangan anggota Umno dan pendaftar ahli baharu sejak kebelakangan ini membawa masej jelas bahawa masyarakat Pagoh masih lagi bersama UMNO dan Barisan Nasional (BN) yang telah banyak membantu mereka selama ini.

14595591_1062956700488957_2985670187669507863_nPemangku Ketua Umno Bahagian Pagoh Ismail Mohamed berkata masyarakat Pagoh masih setia dan sayangkan parti Umno walaupun pemimpin bertukar dan hanya sebilangan kecil sahaja iaitu lebih kurang 10 peratus anggota Umno yang tukar parti.

“Sehingga kini, Umno Pagoh telah mendaftar 1,800 anggota baharu dan juga mendaftar 2,000 ahli sebagai pengundi baharu menerusi usaha yang dilakukan Umno Bahagian Pagoh.

“Keadaan ini jelas membuktikan dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) telah mendaftar seramai 3,000 ahli baharu di Pagoh baru-baru ini adalah kurang tepat kerana masyarakat Pagoh masih lagi setia dan sayangkan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis sidang media selepas merasmikan majlis kunjungan hero negara Tan Wee Kiong di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kung Yung dekat sini hari ini.

Ismail, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata Umno Bahagian Pagoh akan terus berusaha mendekati dan berkhidmat menjaga kebajikan masyarakat Pagoh dengan cara yang sihat tanpa memburukkan sesiapa.

Dalam masa sama, pihaknya tidak akan memandang rendah kewujudan PPBM di Pagoh namun ia tidak mengganggu tanggungjawab Umno untuk terus membela dan menjaga masyarakat Pagoh.

Ismail berkata pihaknya tidak boleh menyekat Tan Sri Muhyiddin Yassin dan parti baharunya membuka bahagian baharu PPBM dan pertama di Pagoh.

“Kami rasa terkilan dengan tindakan Muhyiddin itu adalah dengan niat untuk membunuh dan menjatuhkan Umno sedangkan beliau sebelum ini adalah merupakan pemimpin dan ahli yang patuh kepada parti Umno.

“Dulu beliau sentiasa menasihati kami agar sayang dan setia kepada Umno namun malangnya kini Muhyiddin menentang Umno sedangkan beliau naik ke peringkat tertinggi sehingga ke jawatan timbalan perdana menteri hasil daripada sokongan padu Umno Pagoh,” katanya.

Beliau berkata adalah tidak wajar Muhyiddin bertindak menubuhkan parti baharu dan selepas itu menjadi ketua bahagian parti tersebut kerana masih ramai masyakat Pagoh yang masih sayangkan beliau.