Langkah Memantapkan Felda Bakal Diumum PM Hujung Tahun Ini

MUAR, 8 Okt — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka akan mengumumkan hasil daripada makmal pemantapan Felda antaranya langkah meningkatkan pendapatan peneroka serta menambah baik pengurusan Felda dan kumpulan, hujung tahun ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata makmal yang dijangka selesai akhir Oktober itu kini sudah memasuki fasa kedua dengan fokus diberikan kepada soal tadbir urus.

unknown-28Beliau berkata minggu depan pula, akan ada pertemuan dengan Kementerian Kewangan bagi melihat model perniagaan terbaik yang patut diguna pakai oleh Felda.

“Hujung tahun ini, beberapa pengumuman dapat kita buat selepas makmal selesai pada hujung bulan ini. Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan umumkan (hasil makmal),” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sukan Negara 2016 peringkat daerah Muar di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahkota di sini hari ini.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai dakwaan pembangkang kononnya ramai peneroka Felda menyertai parti pembangkang baru-baru ini, Razali berkata beliau yakin dengan sokongan warga Felda terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN).

Ini kerana kerajaan selama ini secara berterusan membantu membangunkan masyarakat Felda tetapi pembangkang hanya datang bermusim untuk meraih undi kerana melihat sokongan warga Felda yang kuat terhadap BN.

“Pembangkang akan datang bermusim. Lepas pilihan raya mereka senyap sekejap, bila nak menjelang pilihan raya, mereka akan mula menjadi jaguh dan pejuang kepada Felda tetapi secara berterusan bersama peneroka ialah BN,” kata Razali.

 

unknown-29