Dakwaan BN Johor Hilang Majoriti Dua Pertiga Sekadar Provokasi Murahan – Ali Mazat

JOHOR BAHRU, 9 Okt – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai Yb Ali Mazat Salleh melihat dakwaan kononnya kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hilang majoriti dua pertiga sekadar provokasi pihak pembangkang untuk menimbulkan kegusaran di kalangan rakyat semata-mata.

unknown-23Justeru beliau menasihatkan mana-mana pihak khususnya kalangan pembangkang agar tidak terlalu ghairah berhubung tindakan ADUN Jorak, Datuk Shahrudin Salleh meninggalkan UMNO dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Pribumi).

“Parti Amanah Negara (PAN) Johor khususnya tak perlu ghairah tentang majoriti 2/3 BN Johor kerana PAN juga tidak bertanding atas logo PAN pada PRU 13. Kerusi beliau di dewan kerana mandat yang diberi kpd PAS pd PRU ke13.

“Hari ini kedudukan Pas dalam pakatan pembangkang di Johor juga masih jadi tandatanya dan pembangkang Johor mewakili pelbagai parti secara berasingan. Dan yang lebih penting kita tahu hati budi ADUN Jorak terhadap BN Johor ” katanya dalam satu kenyataan media kepada UMNO-Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyatan Pengerusi PAN Johor, Aminolhuda Hassan yang dilaporkan berkata BN Johor telah kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Shahruddin Salleh meninggalkan UMNO.

Semalam, Badan Perhubungan UMNO Johor menafikan Barisan Nasional (BN) di negeri itu hilang kuasa majoriti dua pertiga susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Shahruddin Salleh meninggalkan UMNO.

Setiausaha Perhubungan, Datuk Md Jais Sarday, berkata dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang BN Johor hilang kuasa majoriti dua pertiga juga tidak tepat kerana BN masih mempunyai kuasa majoriti dua pertiga kerana mempunyai 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, beliau sudah mendapat pengesahan dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menjelaskan BN masih mempunyai kuasa dua pertiga kerana mempunyai 37 kerusi manakala pembangkang 19 kerusi.

Ali Mazat seterusnya menegaskan tindakan ADUN Jorak sememangnya bukan perkara pelik serta bukan perkara baru dalam politik dan percaya BN Johor akan terus mendapat kpeercayaan rakyat.

Katanya tindakan tersebut tidak akan menganggu tugas serta tanggungjawab kerajaan negeri dalam melaksanakan segala perancangan serta pelaksanaan terhadap rakyat Johor.

“Cuma yang pasti kita tahu dan kenal hati budi ADUN Jorak terhadap parti dan kita penuh yakin kerajaan negeri menerusi pimpinan Datuk Seri Mohamed Khaled serta seluruh jentera yang lain akan melaksanakan tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.