UMNO Johor Nafi BN Hilang Majoriti Dua Pertiga – Jais

KUALA LUMPUR, 8 Okt: Badan Perhubungan UMNO Johor menafikan Barisan Nasional (BN) di negeri itu hilang kuasa majoriti dua pertiga susulan tindakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jorak, Datuk Shahruddin Salleh meninggalkan UMNO.

unknown-19Setiausaha Perhubungan, Datuk Md Jais Sarday, berkata dakwaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang BN Johor hilang kuasa majoriti dua pertiga juga tidak tepat kerana BN masih mempunyai kuasa majoriti dua pertiga kerana mempunyai 37 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Katanya, beliau sudah mendapat pengesahan dengan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) yang menjelaskan BN masih mempunyai kuasa dua pertiga kerana mempunyai 37 kerusi manakala pembangkang 19 kerusi.

“Di Johor ada 56 kerusi. Jika hendak mendapat kuasa majoriti dua pertiga, perlukan 36 kerusi. BN sekarang ada 37 kerusi, maka BN masih ada kuasa majoriti dua pertiga.

“Bermakna apa yang didakwa pembangkang itu sebenarnya tidak tepat. Mereka hanya hendak mewujudkan suasana panik kepada rakyat Johor. BN Johor masih ada kuasa majoriti dua pertiga,” katanya hari ini.

PPBM dan Parti Amanah Negara semalam mendakwa BN Johor kehilangan kuasa majoriti dua pertiga buat pertama kali dalam sejarah susulan Shahruddin keluar UMNO selepas dilantik menjadi Setiausaha Agung PPBM.

Md Jais turut mengesahkan baki 37 ADUN BN di Johor merangkumi 31 ADUN UMNO, dua dari MCA, satu ADUN GERAKAN dan tiga MIC turut menyatakan taat setia kepada parti dan kepemimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Mohamed Khaled Nordin. (BH)