Johor Terus Kukuh – SU Gerakan

KUALA LUMPUR, 8 Oct — Barisan Nasional (BN) Johor terus kukuh sekalipun bekas pemimpin UMNO Johor Datuk Dr Shahruddin Md Salleh telah menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), kata Setiausaha Agung Gerakan Datuk Liang Teck Meng.

Beliau berkata tindakan ADUN Jorak itu tidak menjejas urus tadbir dan penyampaian kerajaan negeri BN yang kekal kukuh dengan 37 anggota dewan negeri berbanding pembangkang hanya 19.

14525093_10154005568453100_7829793238406806940_oShahruddin dilantik setiausaha agung PPBM.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Liang, anggota parlimen Simpang Renggam, menyifatkan tindakan Shahruddin melompat parti sebagai perbuatan hina dan mengkhianati amanah diberikan pengundi kepada BN dalam pilihan raya umum lepas.

Sementara itu, Ketua Pemuda Gerakan Tan Keng Liang berkata, Pakatan Harapan bukanlah satu gabungan yang boleh dipercayai apabila seorang demi seorang pemimpin parti pembangkang keluar daripada parti yang membentuk pakatan itu.

Tan berkata apa yang tinggal dalam pakatan itu hanyalah janji kosong dan rakyat tidak lagi boleh mempercayai parti-parti pembangkang.

“Pengumuman (keluar parti) yang tidak henti-henti jelas menunjukkan orang ramai kini tidak lagi boleh percaya kepada nama atau jenama Pakatan Harapan,” katanya ketika berucap pada Perasmian Persidangan Perwakilan Pemuda dan Wanita Parti Gerakan di Menara PGRM hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Presiden Gerakan, Dr Cheah Soon Hai.

Tan merujuk kepada tindakan keluar parti beberapa pemimpin pembangkang termasuk Pengerusi PKR Sabah Datuk Seri Lajim Ukin serta penubuhan entiti politik baharu di pihak pembangkang.

Mengikut jejak langkah Lajim yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klias adalah ADUN Moyog Terence Siambun (PKR) dan ADUN Likas Junz Wong dari DAP.

Turut meninggalkan kedua-dua parti itu adalah Setiausaha Agung PKR Sabah Datuk Maijol Mahap, Ketua Wanita PKR Sabah Johair Matlani, Timbalan Pengerusi DAP Sabah Joan Hoh serta Naib Pengerusi DAP Sabah George Hiew.

Tan berkata pemimpin-pemimpin pembangkang kini sebaliknya berkejar-kejar menggunakan nama lain untuk memasarkan produk politik dengan penubuhan entita baharu seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir
Mohamad.