#Bajet2017 Diharap Beri Perhatian Kepada Isu Air, Pengangkutan Awam- MB

JOHOR BAHRU, 8 Okt — Kerajaan negeri Johor berharap Bajet 2017 kerajaan Persekutuan akan memberi perhatian kepada isu air dan pengangkutan awam negara dalam usaha menambah baik infrastruktur itu untuk rakyat Malaysia termasuk di Johor.

unknown-9Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata infrastruktur berkenaan perlu ditingkatkan lagi memandangkan ia adalah perkara asas yang  dinilai pelabur dalam atau luar negara untuk melabur di sesuatu tempat.

“Setakat ini, dari segi infrastruktur dan rangkaian jalan, Johor berpuas hati dengan bantuan dan kerjasama yang diberikan kerajaan Persekutuan,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Persimpangan Bertingkat Bukit Amber di Lebuh Raya Utara Selatan.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar Dan Wilayah Negeri Datuk Ir Hasni Mohamad.

Khaled berkata Persimpangan Bertingkat Bukit Amber di Lebuh Raya Utara Selatan menghubungkan Senai Airport City dan Bukit Amber dengan Lebuhraya Utara Selatan ke arah Linkedua Malaysia-Singapura dan Bandaraya Johor Bahru hingga ke
Singapura.

“Ia juga menghubungkan lebuhraya Senai-Desaru Expressway ke arah Pasir Gudang untuk memudahkan akses ke Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Pelabuhan Johor.

“Kelebihan jaringan ini boleh memendekkan waktu perjalanan…dengan itu, perjalanan akan menjadi lebih selamat dan lancar,” katanya.