Persempadanan Semula Pilihan Raya Pembangkang Tidak Perlu Gelabah – Fahariyah

LEDANG, 05 Okt – Ketua Puteri UMNO Bahagian Ledang Fahariyah Md Nordin berkata, mengapa pembangkang harus gelabah tidak tentu fasal berkaitan cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR).

unnamed-5Ujarnya, mengapa Barisan Nasional (BN) dan UMNO yang dipersalahkan sedangkan hak persempadanan itu adalah hak SPR sebagaimana yang termaktub dalam undang-undang.

“Tuduhan pembangkang kononnya persempadanan semula ini adalah untuk membantu BN dan UMNO menang pada PRU-14 adalah satu tuduhan yang jelas mahu memburukkan imej BN dan UMNO di mata rakyat.

“UMNO pun tidak bersetuju dengan perkara ini… jadi jangan nak jadikan kita kambing hitam demi permainan politik kotor mereka.

“PRU dijalankan dengan penuh demokrasi jadi tidak wujud kononnya nak bagi kita BN menang besar,” katanya kepada UMNO-Johor.

Tambah Fahariyah, tuduhan pembangkang ini hanyalah dilihat untuk memburuk-burukkan kerajaan sediada dan strategi mereka untuk mengelirukan rakyat apatahlagi pilihan raya umum sudah semakin hampir.

Oleh yang demikian, mereka akan menggunakan apa sahaja isu demi merosakkan imej BN.

“Pembangkang perlu ingat, BN tidak lagi mendapat dua pertiga dalam parlimen dan ini jelas membuktikan bahawa demokrasi memang dijalankan di Negara ini.

“Saya menyeru kepada rakyat khususnya di negeri Johor agar jangan mudah terpengaruh dengan agenda jahat pembangkang ini. Mereka hanya akan diam jika BN tumbang,” katanya lagi.