ADUN Kemelah Lawat Mangsa Lemas

LABIS, 3 Okt: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemelah, Datuk Ayub Rahmat melawat kediaman mangsa lemas, Allahyarham Azrul Hisham Azman di FELDA Redong 1 di sini, sebentar tadi.

14590421_1336015013077958_1597872192454272231_nPada lawatan itu, Ayub turut menyampaikan sumbangan peribadi dan sokongan kepada keluarga mangsa berhubung tragedi yang menimpa Allahyarham.

“Insyallah, saya secara peribadi akan cuba membantu keluarga Allahyarham Azrul Hisham sekiranya mereka memerlukan apa-apa yang difikirkan perlu.

“Mereka juga boleh merujuk kepada saya atau Pusat Khidmat DUN Kemelah sekiranya memerlukan bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh keluarga Allahyarham,” katanya ketika ditemui BH di FELDA Redong 1, sebentar tadi.

Ayub yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor berkata, pihaknya difahamkan pihak pengurusan FELDA juga akan turut membantu keluarga mangsa kelak.

“Pengurusan FELDA Redong 1 akan memberi bantuan dari segi pengurusan jenazah. Kita harap segala urusan ini akan dapat dilaksanakan dengan sempurna,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.40 pagi tadi, Allahyarham Azrul Hisham bersama dua rakannya dilaporkan lemas ketika mandi di kawasan Air Terjun Lubuk Jepun, Batu 16, Gombak, Selangor. – BERITA HARIAN