Teks Ucapan Dato’ Khaled Nordin Di Majlis Perasmian Mesyuarat UMNO Bhg Simpang Renggam

TEKS UCAPAN
YAB DATO’ MOHAMED KHALED NORDIN
Di

MAJLIS PERASMIAN MESYUARAT PERWAKILAN UMNO BHg SIMPANG RENGGAM
1 OKTOBER 2016

1. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengalu-alukan kehadiran YAB Datuk Seri Zahid Hamidi ke Simpang Renggam pada pagi ini.

2. Dalam jadual beliau yang senantiasa padat, beliau luangkan juga masa untuk datang ke Johor pada hari ini. Bukan satu bahagian tapi beberapa bahagian.

img_62023. Jelas betapa beliau orang perjuangan. UMNO adalah sebahagian dari hidup beliau dan pastinya sebahagian dari hidup kita semua.

4. Selama berpuluh-puluh tahun, UMNO inilah yang beliau dan kita semua perjuangkan. Kita jadikan suluhan untuk memperbaiki nasib bangsa.

5. Dua penegasan yang kita ingin zahirkan iaitu pertama, kita akan terus setia kepada UMNO. Kerana di Johor ini kita berjuang secara berprinsip dan berpendirian.

6. Pertama, kerana UMNO ini, wadah yang kita sendiri bina.

Wadah yang meletakkan kita semua ini pada kedudukan sekarang. Kedudukan terbaik dalam sejarah pembangunan bangsa Melayu. Malah dalam sejarah perjalanan kita sebagai sebuah negara moden yang stabil.

Wadah inilah yang memberikan kita nikmat kemerdekaan. Wadah inilah yang memberikan makna pada sebuah kebebasan dan harga diri.

Wadah inilah yang membolehkan pelbagai dasar, pelbagai program, pelbagai insentif, diperkenalkan untuk memajukan orang Melayu. Membangunkan bangsa dan agama.

Jadi, mana mungkin kita sanggup meninggalkan wadah ini begitu sahaja. Hanya kerana ada pergeseran. Hanya kerana ada perbezaan.

Kita ini adalah generasi pewaris kepada sebuah wadah yang mengumpul kekuatan dan kesatuan orang Melayu.

Walau apapun perbezaannya dan biar sehebat manapun ribut dan gelora politik yang melanda, wadah inilah yang selama ini menjadi pengikat untuk kita bergerak. Dalam kerangka demokrasi dan membentuk Malaysia yang moden dan berkemajuan.

Lalu, mana mungkin wadah UMNO ini, boleh kita buang dan tinggalkan begitu sahaja.

7. Kedua, pemimpin datang dan pergi, tetapi UMNO Johor, insyaAllah, akan kita pertahankan.

Dalam politik, ia sudah menjadi lumrah. Bahawa akan ada sahaja pemimpin yang memilih untuk meninggalkan kita. Sudah resam. Akan ada yang datang. Akan ada yang pergi. Akan ada yang meninggalkan. Akan ada yang tewas.

Namun yang pasti, semua pemimpin, semua ahli, mesti sedar bahawa UMNO ini bukan milik peribadi. Ia juga bukan kisah tentang seorang individu.

Ia adalah institusi, yang lebih basar dari mana-mana kehebatan seorang pemimpin. Ia lebih gah dari pesona hebat seorang negarawan.

Maka berlapang dadalah bila ada pemimpin yang tidak lagi bersama kita. Bersabarlah.

Demikian jugalah dengan UMNO. Pengasasnya telah lama pergi. Ribuan pemimpin dan pendukung terhebatnya juga telah berpulang, meninggal atau tersingkir. Namun UMNO kekal sehingga kini, dari generasi ke generasi, zaman ke zaman.

Dengan membawa pencerahan, dengan menyeru kepada persaudaraan dan dengan ideologinya yang murni. Untuk mencipta kebaikan pada bangsa dan agama.

8. Ketiga, kalau kita selaku orang Melayu, ahli UMNO, tidak mempertahankan UMNO, siapa lagi yang akan melakukannya?

Sejak kita merdeka sehinggalah hari ini, Malaysia sudah menyaksikan pelbagai kejayaan dan kemajuan. Dan kita sedar, kesemua ini adalah hasil sumbangan besar dan perjuangan tulus para pendiri bangsa terdahulu.

Namun, kebanyakan kita hari ini hanya mampu mendengar sahaja tentang mereka. Tentang perjuangan mereka, tentang cerita kerja keras mereka serta doa mereka untuk bangsa dan tanahair ini.

Kita tidak pernah bertemu dan tidak akan pernah dapat bersua wajah dengan mereka.

Namun, satu-satunya perkara yang masih ada, yang menghubungkan kita dengan mereka, selain daripada tanahair yang merdeka dan makmur ini, adalah UMNO. UMNO adalah merupakan warisan dan peninggalan dari mereka untuk kita.

Sebagai sebuah wadah plitik Melayu moden, yang bukan sekadar untuk ditatap dan dikenang-kenang. Tetapi untuk terus diperjuangkan. Agar kekal, agar berkelangsungan. Agar ia dapat terus berbakti kepada bangsa, agama dan tanahair ini.

Maka, kepada seluruh orang Melayu, hanya satu seruan dan peringatan dari saya. Betapa kita punya tugas dan tanggungjawab. Untuk terus mempertahankan parti ini.

Janganlah kita lupa, pelita UMNO inilah yang selama ini menerangi kita. Dan hanya kerana nyalaan pelita ini semakin malap, janganlah kita mengambil jalan mudah untuk terus memadamkannya sahaja.
Terpadam dan dibiar menjadi sekadar perhiasan di dinding-dinding khutub khanah, atau ditatap ceritanya dalam cerita buku sejarah.

Maka kalau kita, ahli UMNO, juga mahu terus menerus marahkan UMNO, mahu meninggalkan UMNO, mahu melupakan UMNO, maka siapa lagi yang akan tinggal untuk membela dan mempertahankan UMNO ini?

9. Perkara kedua, kami ingin tegaskan bahawa kami akan terus bekerja keras dan tidak akan sesekali mudah berputus asa.

10. Kami amat sedar, putus asa itu bukan milik pejuang. Ia adalah pakaian mereka yang tidak ikhlas berbakti kepada bangsa dan agama.

11. Kami tidak akan berdiam diri. Banyak ikhtiar yang telah kami terjemahkan demi memajukan UMNO dan mentadbir negeri ini dengan sebaiknya.

12. Dari seri pentadbiran Kerajaan Negeri, segalanya dalam keadaan yang baik.

13. Malah Johor sedang bergerak pantas menjadi Gergasi Ekonomi Selatan dan negeri yang paling maju di Malaysia.

14. Kami sedang gigih menyusun atur dan langkah. Untuk menyuburkan semangat dan pemikiran berkemajuan di segenap pelusuk negeri ini.

15. Agar, dengan sikap, pemikirian, akhlak serta budaya kerja yang betul ini, UMNO akan sekali lagi menjadi daya yang membenihkan kesejahteraan kepada nusa dan bangsa. Seperti yang sering kita lakukan.

16. Akhir kata, Kepada Dato Sri Zahid, sebagai pemimpin yang cukup matang dan teruji, berikanlah kita semua nasihat dan tunjuk ajar. Sebagai pembuka jalan untuk kita berhadapan dan menangani semua cabaran hari ini, Kongsikanlah dengan kami segala kekuatan dan semangat juang Datuk Seri itu. Agar UMNO Johor dapat belajar darinya, buat bekalan untuk kami membina kekuatan di sini.

Kepada UMNO Simpang Renggam, selamat bersidang dan selamat berjuang.