Seni Silat Perlu Lebih Dinamik, Tarik Minat Golongan Muda

JOHOR BAHRU, 1 Okt – Seni silat perlu lebih dinamik demi memastikan ia terus kekal sebagai seni warisan pada masa akan datang, demikian kata Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

Beliau berkata para pendukung seni itu tidak boleh sekadar berpuashati di takuk yang sama dan perlu memikirkan penglibatan golongan muda dalam seni tersebut.

image-1-900x507“Kita akur betapa pesatnya zaman berlalu. Kita tidak boleh lari dari arus permodenan dan sudah tentulah, ia membawa bersama perubahan dan ada harga yang perlu dibayar kerananya.

“Kita perlu memikirkan bagaimana seni silat ini lebih menarik terutama kepada anak-anak muda untuk menyertainya, seperti apabila kita melihat seseorang itu memiliki ilmu karate dan tekwando,” katanya.

Menurut Mohamed Khaled, masyarakat juga harus berbangga mewarisi seni dan budaya itu dan ia perlu dizahirkan dengan semangat dalam bentuk yang lebih dinamik.

“Lihatlah bagaimana seni seperti karate dan tekwando menjadi sebahagian dari kekuatan budaya orang-orang Jepun dan Korea. Ia sebahagian tradisi yang tidak hanya mengajar rakyatnya untuk jadi lebih gigih berusaha untuk maju tetapi turut menjadi budaya yang melangkaui batas sempadan geografi,” jelasnya lagi.

Beliau turut menegaskan bahawa seni silat bukan sekadar seni mempertahankan diri oleh bangsa Melayu, malah ia lebih dari itu yang menjadi lambang kepada ketinggian budaya dan keluhuran budi orang-orang Melayu.

“Ia mendidik pendukungnya agar tidak sekali-kali angkuh dengan ilmu yang dimiliki. Pada setiap ilmu yang dipelajari, ada lagi seni, bunga mahupun jurus silat yang perlu diperhalusi dan dimiliki. Ia membentuk jati diri agar cintakan tanahair, sayangkan bangsa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan pembukaan Kejohanan Wajadiri Silat Cekak Pusaka Hanafi Peringkat Antarabangsa 2016 di Galeria @ Kotaraya, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pewaris Mutlak Silat Cekak, Syeikh Dr. Md Radzi Hanafi dan Yang Di Pertua Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Johor.

Pada majlis itu, Mohamed Khaled turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM150,000 kepada Persatuan Seni Silat Cekak Pusaka Hanafi Johor sebagai penghargaan dan pengiktirafan terhadap persatuan itu dalam menjayakan pelbagai program pada tahun ini.

Beliau turut berharap persatuan itu akan terus melakar pelbagai kejayaan dan kecemerlangan dalam usaha mempertahankan seni silat sebagai salah satu cabang warisan di Negeri Johor. – JAUHAR