Perlu Garis Panduan Lengkap Pastikan Ketelusan Dana Politik – Ahmad Zahid

PONTIAN, 1 Okt — Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata garis panduan bersama yang lengkap perlu diwujudkan bagi memastikan ketelusan dana politik dalam kalangan parti politik di negara ini.

Menyambut baik cadangan pelaksanaan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik, beliau berkata cadangan itu lahir daripada hasil beberapa siri perbincangan yang telah diadakan dengan semua pihak termasuk pihak-pihak berkuasa yang berkaitan.

Beliau berkata garis panduan yang lengkap perlu bagi memastikan semua parti politik benar-benar telus dalam membentangkan punca dana politik yang diperolehi.

“Kita tidak mahu hanya pihak parti memerintah sahaja terutama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) (perlu membentangkan sumber dana politik), yang (sebelum ini) dituduh dengan pelbagai tuduhan seolah-olah pihak sebelah sana (parti pembangkang) tidak dapat dana politik dari sumber-sumber yang tidak perlu dibentangkan,” katanya.

Ahmad Zahid yang juga naib presiden UMNO dan menjalankan tugas sebagai timbalan presiden UMNO berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Tanjung Piai, di sini Sabtu.

Katanya semua pihak harus berfikiran terbuka dan berlapang dada supaya akta itu nanti dapat dijadikan garis panduan bersama parti politik supaya dapat meleraikan pelbagai tuduhan berkaitan dana politik yang dilemparkan terutama oleh parti pembangkang sebelum ini.

“Kita rasakan mereka (pihak pembangkang) harus telus…kita dapati jika mereka mempunyai kuasa tentunya ada dana politik pada mereka, yang pernah mereka perolehi daripada mereka yang pernah membantu dan kita tahu…tapi eloklah diketahui (sumbernya),” katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau menyokong agar cadangan akta itu dibentangkan di Parlimen untuk dibahaskan bagi kepentingan bersama.

Beliau mengulas cadangan Jawatankuasa Konsultatif Nasional Mengenai Pembiayaan Politik (JKNMPP) yang menggariskan 32 idea termasuk memperkenalkan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik untuk penambahbaikan soal integriti dan pembiayaan politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low Seng Kuan yang juga Pengerusi JKNMPP semalam berkata cadangan tersebut akan dibawa kepada kabinet dua minggu lagi sebelum dibawa ke Parlimen untuk dibahas dan diluluskan.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata formula “berunding secara adik-beradik” sentiasa diamalkan dalam UMNO dan parti komponen BN terutama soal pengagihan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata BN sentiasa memberi peluang kepada semua parti komponen untuk bertanding walaupun di kawasan bukan majoriti kaum-kaum yang diwakili parti berkenaan.

“Kita (UMNO) berunding secara adik beradik kerana MIC, MCA, Gerakan dan lain-lain (parti komponen), semua macam adik beradik kita dalam ‘kelambu politik yang sama’,” kata beliau.

Ahmad Zahid berkata walaupun parti-parti komponen menghadapi cabaran pada pilihan raya umum yang lepas, beliau yakin sokongan daripada rakyat kepada BN akan kembali kuat.

Beliau turut mengingatkan semua anggota parti keramat orang Melayu itu supaya kekal bersatu dan mengelakkan perpecahan dalam usaha mencapai agenda yang telah digariskan selama ini.

“UMNO mempunyai agenda agama, bangsa dan negara yang hendak dicapai. Kita berpijaklah di bumi yang nyata, kerana insya-Allah UMNO akan terus berjuang demi kepentingan Islam, Melayu dan negara ini tanpa mengetepikan agama lain, bangsa lain dan keturunan lain,” katanya.

Turut hadir Timbalan Menteri Dalam Negeri yang juga Anggota Parlimen Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga Anggota Parlimen Pontian Datuk Ahmad Maslan, Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai Datuk Md Othman Yusof dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Johor Tan Sri Mohamad Aziz.