Pemuda UMNO Johor Sambut Baik Ketegasan Kerajaan Negeri Banteras Pusat Judi Haram – Hahasrin

JOHOR BAHRU, 29 Sep – Pergerakan Pemuda UMNO Johor hari ini menyambut baik komitmen kerajaan negeri dalam membanteras pusat perjudian haram di negeri ini.

unnamed-6Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata, tindakan ini bukan cakap kosong, Kerajaan Negeri Johor telah membuktikan secara terus dan komited di dalam membanteras kegiatan perjudian haram di negeri ini, apabila lebih 145 operasi telah dijalankan dengan melibatkan 169 permis lesen hiburan yang berunsur perjudian di Negeri Johor dan telah dikenakan tindakan di bawah Enakmen Hiburan.

“Pergerakan Pemuda UMNO Johor begitu teruja dengan ketegasan YAB Menteri Besar, Dato’ Mohamed Khaled Bin Nordin, bersama – sama Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, YB Datuk Abd Latif Bandi, di dalam membanteras kegiatan perjudian secara haram sehingga ke peringkat akar umbi.

Jumlah operasi, kompaun dan sitaan itu membuktikan bahawa kerajaan negeri tidak pernah berkompromi dengan sebarang kegiatan yang menyalahi undang-undang khususnya yang melibatkan kegiatan perjudian haram, ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, Pergerakan Pemuda UMNO Johor juga berpendapat bahawa, operasi seumpama ini mestilah dilakukan dari masa ke semasa malah perlu dipertingkatkan lagi sejajar dengan hasrat Gagasan Johor Berkemajuan.

“Kami juga menyeru kepada masyarakat supaya menghindarkan diri daripada kegiatan perjudian, kerana amalan negatif ini memberi implikasi yang besar dan negatif terhadap kehidupan seharian, dan ia juga boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara.