Johor Komited Capai Sasaran Negeri Bebas Dadah 2018 – Ayub

JOHOR BAHRU, 29 Sept — Kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran ‘Johor Bebas Dadah 2018’ dan akan terus mempergiatkan usaha merealisasikan hasrat tersebut dengan menumpukan usaha kepada golongan belia.

14516394_1331563766856416_1744714576513585525_nPengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata program yang dilancarkan pada pertengahan tahun lalu telah mendapat reaksi positif pelbagai pihak.

“Kami meletakkan sasaran ini sejak tahun 2015 dan sejak itu telah mempergiat usaha untuk mencapainya, dan satu daripada usaha berterusan itu adalah mewajibkan kakitangan kerajaan negeri menjalani ujian saringan air kencing,” kata Ayub.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Projek Meningkatkan Integriti (EIP) di Dewan Al-Hamra Majlis Perbandaran Pasir Gudang, malam tadi.

Menurut Ayub, memandangkan pencegahan perlu dimulakan di peringkat awal, pemeriksaan juga akan diperluaskan kepada golongan belia terutamanya golongan pelajar sekolah menengah dan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Ayub berkata kerajaan negeri dengan kerjasama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menjalankan pemeriksaan air kencing di dua peringkat pendidikan iaitu sekolah menengah dan Institut Pengajian Tinggi (IPT) bermula awal tahun ini sehingga bulan Ogos lalu.

“Kami telah melawat 31 IPT dan menjalankan ujian air kencing kepada 1,337 pelajar dan daripada jumlah tersebut, 33 orang didapati positif dadah.

“Bagi sekolah menengah pula, kami telah melawat 132 sekolah dan memeriksa 3,588 pelajar yang 84 daripada mereka didapati positif dadah.

Tambah beliau, pihaknya juga turut menjalankan pemeriksaan terhadap pekerja di pelabuhan, pemandu jalan raya dan pusat-pusat hiburan sekitar Johor Bahru melibatkan pemeriksaan ujian air kencing terhadap 2,384 individu.

Daripada jumlah tersebut, katanya 719 individu didapati positif dadah.

Program EIP yang bertemakan ‘Ada Integriti Tiada Dadah’ itu dihadiri lebih 200 kakitangan kerajaan, swasta dan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta.