Pembangkang Kitar Semula Skrip Lama Burukkan SPR- Sahrihan

LEDANG, 27 Sept – Naib Ketua Pemuda UMNO Negeri Johor, Sahrihan Jani berkata, tindakan pembangkang memperlekeh dan memburukkan institusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bukanlah sesuatu yang baru malah ini semua adalah skrip lama yang dikitar semula menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

unnamed-2Jelasnya, SPR sentiasa dijadikan kambing hitam bagi permainan politik kotor pembangkang apatahlagi apabila SPR mengumumkan akan melaksanakan Kajian Semula Persempadanan bagi kerusi Parlimen dan Dun bagi Negeri-Negeri Tanah Melayu dan Sabah.

“Mereka akan tuduh SPR mahu laksanakan kajian tersebut sebab nak menangkan Barisan Nasional (BN) pada PRU nanti. Jadi saya tidak hairan selepas ini akan timbul pelbagai isu baru bagi memburukkan institusi SPR.

“Mereka mahu menggambarkan bahawa SPR ini tidak telus dan telah ‘dibeli’ oleh kerajaan. Tapi mereka lupa jika SPR tidak telus mana mungkin mereka dapat kuasai Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan. Jika SPR dikuasai BN, mana mungkin BN gagal mendapat dua pertiga dalam parlimen.

“Jadi sebelum mereka buat sebarang tuduhan melulu sepatutnya mereka lihat diri sendiri. Jangan hanya menyalak dan menyalahkan orang lain untuk menutup kelemahan sendiri sedangkan mereka sendiri seperti ayam yang gah berkokok, tetapi tahi penuh berselaput di ekor,” katanya kepada UMNO-Johor.

Tambah Sahrihan, pembangkang seharusnya menoleh ke belakang dan melihat bagaimana akhirnya Parlimen menubuhkan satu Jawatankuasa Khas Pilihan Parlimen (Select Committee) untuk Penambahbaikan Pilihan Raya dek kerana desakan mereka.

Akibat desakan itu jugalah kaedah dakwat kekal diperkenalkan kononnya untuk menghalang pengundi hantu walaupun cara tersebut cara lama.

“Bila suara mereka telah didengar dan digunapakai, mereka juga yang menggelabah dan mencari segala kelemahan kaedah ini sehingga sanggup mencuci dan mencari kaedah bagi membuktikan dakwat tersebut boleh dihilangkan.

“Ini semua hanyalah bagi menunaikan satu tujuan iaitu mempertikaikan kredibiliti SPR. Sebab itu mereka buat himpunan haram. Mereka mahu rakyat bencikan SPR dan bencikan kerajaan pimpinan BN,” katanya lagi.