Muafakat Johor Konsep Terbaik Menyatupadukan Rakyat Berbilang Bangsa – Sallehudin

MUAR, 27 Sept – Ketua Pemuda UMNO Bahagian Muar Sallehudin Satar berkata, konsep Muafakat Johor adalah konsep terbaik bagi menyatupadukan semua rakyat negeri ini tanpa mengira batasan agama mahupun politik.

unnamedJelasnya, Johor yang terkenal dengan Bangsa Johor adalah merupakan asas perpaduan kaum di negeri ini maka tidak ada sebab untuk ada pihak yang tidak bertanggungjawab mempertikaikan apa yang diperkenalkan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

“Muafakat Johor ini dapat membentuk identiti diri dan merapatkan setiap individu tanpa ada rasa tidak selesa. Malah masalah rasis juga dapat dihakis kerana kita berasal daripada tempat yang sama. Inilah ikatan dan kekuatan negeri ini.

“Muafakat Johor dan Bangsa Johor adalah keunikan negeri ini. Pelbagai aktiviti juga dibuat di bawah Muafakat Johor bagi mengeratkan hubungan. Oleh itu janganlah cuba untuk merosakkan apa yang kami bina ini.

“Muafakat Johor ini sudah wujud lama cuma sekarang inilah baru kita war-warkan secara meluas,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Justeru itu Sallehudin berharap tidak akan ada lagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab cuba mempolitikkan isu Muafakat Johor ini.