UMNO Tentang Habis-Habisan: Pembangkang, PPBM Bertanding Di Johor Dalam PRU-14

SEOUL 25 Sept. – UMNO Johor tidak akan memberi laluan mudah kepada parti pembangkang termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) untuk memenangi sebarang kerusi di negeri itu.

unknown-10Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai parti yang menjadi tulang belakang Barisan Nasional (BN), UMNO akan memberikan tentangan habis-habisan kepada lawannya, sama ada PPBM atau parti pembangkang lain.

“Kita tak takut dengan dia (PPBM). Kita bersedia untuk berhadapan dengan mereka. Kita akan lawan, kita akan tentukan dia (PPBM) tak akan berjaya.

“Kita tahu dia cuba dan berusaha, kita tak akan beri laluan mudah,” katanya kepada kumpulan media Malaysia yang menyertai delegasi misi pelaburan anjuran Johor Corporation (JCorp) selama lima hari ke sini yang berakhir esok.

Justeru, beliau yang juga Menteri Besar dan Pengerusi JCorp meminta semua ahli UMNO terus memperkukuhkan kesatuan bagi menghadapi lawan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) .

Mohamed Khaled juga mengingatkan ahli UMNO supaya berpegang teguh dengan tiga perkara iaitu jangan merosakkan parti yang dibina mereka sendiri, harus menerima hakikat bahawa pemimpin datang dan pergi serta kepentingan parti melebihi diri.

Beliau berkata, kerajaan BN yang ditunjangi UMNO mempunyai kelebihan, potensi dan pelan serta agenda yang jelas untuk memajukan dan menjaga kebajikan serta kesejahteraan rakyat pelbagai kaum.

“Soalnya adakah rakyat nak pilih parti yang hanya berasaskan marah kepada seseorang atau memilih kerajaan yang mempunyai agenda jelas seperti BN.

image“Kita di Johor pun ada agenda pembangunan tersendiri seperti Muafakat Johor dan Johor Berkemajuan yang seiring dengan usaha menjadikan rakyat sejahtera dan kepentingan mereka dijaga,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, UMNO bersedia memberi laluan kepada MCA untuk bertanding di kerusi Parlimen Gelang Patah pada PRU-14 nanti.

Beliau berkata, perkara itu wajar kerana majoriti pengundi di kawasan berkenaan adalah kaum Cina, namun bagi kerusi-kerusi lain perkara itu belum dibincangkan lagi.

“Walau bagaimanapun, terpulang kepada pucuk pimpinan MCA untuk menentukan siapa calon yang difikirkan sesuai dan boleh menang di kawasan berkenaan,” katanya.  -Utusan