Paras Air Rendah Di Empangan Labong Jejas Sektor Pertanian

JOHOR BAHRU, 26 Sept  — Penyaluran air ke kawasan sawah padi di Endau, Mersing dekat sini, terpaksa dihentikan buat ketika ini ekoran paras air di Empangan Labong, yang membekalkan sumber itu, berada di tahap kritikal – berbaki hanya lapan peratus.

unknown-6Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Ir Hamim Samsuri, berkata baki air semasa itu sekadar cukup untuk menampung keperluan domestik, namun hanya dapat bertahan 160 hari.

“Keadaan ini berpunca daripada kemarau dan taburan hujan yang sedikit di kawasan empangan sejak empat bulan lalu.

“Bagaimanapun, kerajaan melalui Jabatan Meteorologi kini sedang mengkaji kesesuaian untuk melaksanakan pembenihan awan, jika keadaan berterusan.

“Kita juga akan menyokong apa juga cadangan daripada kerajaan negeri untuk menangani masalah ini, walaupun melibatkan kos yang tinggi,” kata beliau kepada pemberita selepas melawat empangan itu, dekat sini, hari ini.