JDT Sambut Trofi Liga Super Dengan Bergaya

JOHOR BAHRU 24 Sept. – Juara tiga kali berturut-turut Johor Darul Ta’zim (JDT) menyambut kedatangan trofi Liga Super ke pangkuan mereka de­ngan berpesta gol apabila membenam Terengganu FC (TFC) II 5-1 dalam perlawanan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin di sini malam ini.

Skuad Harimau Selatan, yang telah mengesahkan kejuara­an pada 9 September lalu setelah menundukkan Terengganu 3-0 ketika musim masih berbaki dua perlawanan, memperoleh gol sulung perlawanan seawal minit keenam menerusi Amirul Hadi Zainal sebelum penyerang dari Argentina, Juan Martin Lucero me­lebarkan jurang dengan jaringan pada minit ke-26 dan 34.

imageThe Titans yang menggandakan asakan berjaya merapatkan jurang gol untuk seketika menerusi Patrick Dos Santos pada minit ke-43 namun kesilapan Abdoulaye Maiga yang tertampan bola ke gawang sendiri pada masa tambahan separuh masa pertama terus memberi tekanan kepada pasukan pelawat.

Lucero kemudian mencipta jaringan hatrik apabila menja­ringkan gol kelima pada minit ke-60 dan JDT kelihatan ber­puas hati dengan kedudukan itu hingga tamat permainan.

Kemenangan itu menjadi permulaan sempurna kepada sam­butan meraikan kejayaan JDT mencipta sejarah pasukan pertama menjuarai Liga Super tiga kali berturut-turut dengan trofi kejohanan disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Football Malaysia Limited Liabi­lity Partnership (FMLLP), Kevin Ramalingam kepada Presiden Kelab Bola Sepak JDT, Tunku Puteri Johor, Tunku Aminah Sultan Ibrahim.

Sambutan itu berterusan de­ngan pemain-pemain dan staf kejurulatihan JDT kemudiannya diarak menggunakan bas dua tingkat melalui jalan-jalan utama di bandar raya ini hingga ke Dataran Bandaraya.- Utusan