JCorp Tarik RM2 Bilion Pelaburan Dari Korea Selatan

SEOUL, 24 Sept – Johor Corporation (JCorp) mengumumkan kejayaannya menarik pelaburan asing berjumlah RM1.5 bilion ke Johor, menerusi pelaburan konglomerat Korea Selatan, Kumpulan Lotte.

Pengumuman itu dibuat pada pertemuan bersama 20 pemain industri utama negara itu, anjuran JCorp dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), di sini.

jcorpMelalui kerjasama strategik dengan kumpulan itu, JCorp dan badan pelaburan Korea Selatan merancang membangunkan projek petrokimia di Kompleks Perindustrian Tanjung Langsat (TLIC).

Pelaburan tersebut menjadikan Kumpulan Lotte sebagai firma Korea Selatan yang pertama mendapat status ‘Hab Utama’ daripada MIDA.

Ia turut membuka 100 peluang pekerjaan berasaskan teknologi tinggi.

Turut berlangsung pada mesyuarat itu, pertukaran memorandum persefahaman (MOU) oleh anak syarikat JCorp, KPJ Healthcare Bhd dengan Hospital Sebarun, Pusat Perubatan DK dan Hospital Dae Jeon.

Perjanjian itu meliputi kerjasama perubatan, perkongsian teknologi perubatan terbaru serta peluang perniagaan bagi merangsang pertumbuhan modal insan di Johor.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, pelaburan terkumpul dari Korea Selatan itu mencecah RM2 bilion, apabila turut menerima penambahan sebanyak RM500 juta lagi dari syarikat Amore Pacific.

Syarikat itu membuat pelaburannya di Iskandar Puteri.

“Kejayaan itu membuktikan keyakinan berterusan di kalangan pelabur antarabangsa terhadap prospek pelaburan yang positif di Johor.

“Ini sekaligus meletakkan ia sebagai sebuah destinasi pelaburan pilihan dan yang paling dinamik di Malaysia dan rantau ini,” katanya kepada media Malaysia dan Korea selepas pertemuan itu, di sini.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Dato’ Kamaruzzaman Abu Kassim berkata pemeteraian MOU bersama pemain industri perubatan Korea Selatan penting kepada industri perubatan Malaysia.

“Kerjasama strategik dengan pelabur Korea Selatan signifikan ke arah memajukan teknologi perubatan yang diaplikasikan dalam sektor penjagaan kesihatan pakar diterajui KPJ Healthcare Bhd,” tambahnya.

Pengumuman dibuat sempena misi pelaburan enam hari ke negara itu, yang diketuai Mohamed Khaled, yang juga Pengerusi JCorp.