Seminar Pendidikan Johor 2016 Platform Terbaik Bertukar Pandangan

KLUANG, 23 Sept – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Datuk Md Jais Sarday dalam status laman sosialnya berkata, program Seminar Pendidikan Johor 2016 adalah satu platform penting dan bertepatan pada waktunya kerana ia mampu mengumpulkan pakar-pakar dalam bidang pendidikan dan kemahiran di institusi pengajian tinggi, institusi kemahiran, sekolah-sekolah dan industri bagi tujuan berkongsi pandangan kajian serta membincangkan isu-isu berkaitan pendidikan.

14322249_1169256303113397_7452116918283319245_nUjarnya, program anjuran UTHM itu juga mampu menjadi instrument timbal balik untuk kerajaan negeri memperhalusi dan bermuhasabah tentang kekurangan dan kelemahan yang perlu diperbaiki atau di intervensi segera.

“”Saya berharap, platform ini digunakan sebaik-baiknya untuk melakar dan merancang secara serius hala tuju dan perjalanan episod baru pendidikan di Negara khususnya di Johor sendiri.

“Jadi gunakanlah landasan ini sebaik mungkin,” katanya.

Selain itu beliau turut menyatakan, tiga perkara yang telah merubah sektor pendidikan negara pada hari ini adalah pendidikan hari ini amat berkait rapat dan bergerak secara langsung dengan kecanggihan teknologi dan kepantasan dunia digital.

Kedua, matlamat pendidikan bukan lagi untuk melahirkan golongan pekerja. Tetapi untuk melahirkan generasi pemikir masa hadapan yang baik dan bijak.

Pendidikan adalah ikhtiar mempersiapkan generasi masa depan yang baik, yang berpekerti tinggi, yang jujur, yang prihatin kepada masyarakat sekelilingnya, yang boleh menjadi pemikir yang hebat.

Ketiga, pendidikan memerlukan kerjasama dan penglibatan aktif semua pihak yang lain. Bukan sahaja dari pendidik dan institusi pendidikan.