Pelabur Korea Bakal Labur RM2 Bilion Di Johor

SEOUL, 22 Sept. – Johor bakal menerima pelaburan terbesar dari Korea menerusi pemeteraian perjanjian perdagangan dengan beberapa pelabur dari negara itu berjumlah RM2 bilion.

image-12Jumlah pelaburan Korea di Johor setakat ini mencecah RM239 juta, menerusi beberapa pemain industri petro kimia dan pemprosesan produk berasaskan logam termasuklah pelaburan oleh Lotte Group, Kisware Limited dan Fujitech, menurut satu kenyataan yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin yang bakal menyaksikan pemeteraian itu tiba di Seoul hari ini, bagi mengetuai misi enam hari untuk meningkatkan lagi angka pelaburan itu.

Beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Incheon dari London, selepas merasmikan majlis penutup Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu di Royal Asiatic Society London, semalam.

Misi itu yang turut disertai Ketua Setiausaha Negara, merangkap Pengerusi Bersama JCorp, Tan Sri Dr. Ali Hamsa; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Datuk Md. Jais Sarday, Setiausaha Kerajaan Johor, Datuk Ismail Karim serta Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim.

Mohamed Khaled dijadualkan menghadiri majis makan malam anjuran Kiswire Limited, sebuah syarikat pengeluar produk logam yang mempunyai kepentingan di Johor menerusi empat syarikat iaitu Kiswire Dies Sdn. Bhd., Kiswire Cord Sdn. Bhd., Kiswire Nepture Sdn. Bhd. dan Kiswel Sdn. Bhd.

Sesi meja bulat turut akan diadakan membabitkan para pemain industri utama Korea, selain lawatan ke beberapa buah hospital swasta utama di sini untuk meninjau potensi pelaburan baharu oleh JCorp.

Sehingga akhir 2015, jumlah pelaburan membabitkan syarikat asing di Johor mencecah angka RM31 bilion dan membuka hampir 12,000 peluang pekerjaan.