Johor Iktiraf Peranan Belia

KOTA TINGGI 19 Sept. – Muhammad Fadzli Hasan, 34, dan Maria Hassan, 35, masing-masing menerima wang tunai RM4,000, trofi dan sijil apabila muncul pemenang Anugerah Perdana Belia Negara peringkat negeri 2016 bagi kategori lelaki dan wanita, pada Sabtu.

Lebih bermakna, hadiah ber­kenaan disampaikan oleh Men­teri Besar’Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

beliaYang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan; Pegawai Daerah Kota Tinggi, Noorazam Osman dan Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Manndzri Nasib.

Muhammad Fadzli yang merupakan Naib Presiden Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) dan Exco Majlis Belia Malaysia (MBM) mengakui, pengiktirafan berkenaan adalah yang pertama diterima beliau.

“Saya telah berkecimpung dalam persatuan belia selama 14 tahun dan kini memegang jawatan dalam MBFM dan MBM.

“Banyak aktiviti melibatkan belia dan program kemasyarakatan telah saya sertai dan berharap dapat terus menabur bakti kepada masyarakat pada masa depan,’’ katanya yang turut berazam untuk menarik lebih ramai golong­an muda menyertai persatuan berkenaan.

Sementara itu, pemenang Anugerah Perdana Belia India, K. Rajasekaran, 37, dari Taman Sri Lambak, Kluang tidak menyangka akan meraih anugerah tersebut.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Belia Pantas Bersatu berkata, anugerah itu akan menjadi pembakar semangat untuk terus aktif dalam melakukan aktiviti kemasyarakatan melibatkan golongan belia.

Pada majlis tersebut, pelawak, Shahrol Shiro atau nama sebenarnya Shahrol Azizi Azmi turut dilantik sebagai Duta Majlis Belia Negeri Johor. – UTUSAN