Ahli UMNO Tak Perlu Menari Ikut Rentak Pembangkang – Rahman Dahlan

GELANG PATAH, 18 Sept – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Abdul Rahman Dahlan berkata ahli parti tidak seharusnya menari mengikut rentak yang dipalu oleh pembangkang khususnya dalam isu 1Malaysian Developmen Berhad (1MDB).

Menurut beliau isu tersebut cukup kompleks dan biarlah pihak kerajaan yang menguruskannya dengan sebaik mungkin termasuk isu Department Of Justice (DOJ).

14064256_1156923914346744_1775573994172896887_nMalah beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri percaya isu-isu berkenaan akan menemui jalan penyelesaian dan tindakan pembangkang hanyalah mahu menangguk di air keruh berhubung isu terbabit dalam usaha memburukkan kerajaan yang ada hari ini.

“Kita percaya isu 1MDB akan selesai…dan kita juga jangan menari dengan rentak pembangkang..apa jua yang dirancang insya Allah akan berjaya. Kita kena faham jangan mudah melatah.

“Pada masa yang sama kita kena setia kepada pemimpin..siapa pun pemimpin kita. Kita dalam parti ada kaedah tersendiri. Jadi kita kena tengok dalam konteks yang betul,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa merasmikan mesyuarat UMNO bahagian Gelang Patah baru-baru ini.

Menyentuh soal yang dibangkitkan oleh UMNO bahagian berkenaan Rahman berkata soal laluan keretapi laju Kuala Lumpur-Singapura akan dibincang dengan persetujuan pihak kerajaan negeri dan seterusnya soal pampasan juga akan ditentukan dengan kerajaan Johor.

“Kita akan pastikan mereka yang terlibat mendapat pampasan sewajarnya” katanya.

Katanya lagi limpahan pembangunan ekonomi dibahagian tersebut boleh dikongsi bersama antaranya pembangunan usahawan untuk penduduk setempat.

“Kita boleh bincang untuk kepentingan masyarakat termasuk di Gelang Patah ini.Apalah gunanya pembangunan kalau kita tidak ambil kesempatan dan sebagainya,” katanya.