Bajet Johor 2017: Belia Dipelawa Beri Cadangan Dan Pandangan

KOTA TINGGI 17 Sept. – Kerajaan Negeri Johor mempelawa golongan dan persatuan belia untuk bersama-sama memberi cadangan dan pandangan bagi Bajet Johor 2017 yang bakal dibentangkan pada November ini.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, sebarang input yang mampu memberi manfaat kepada golongan belia boleh dikemukakan kepada exco belia negeri untuk tindakan selanjutnya.

image-11-900x507“Kerajaan Negeri kini sedang dalam peringkat untuk menyediakan bajet negeri bagi tahun 2017. Justeru, saya mengharapkan input, pandang dan cadangan daripada saudara-saudari sekalian dan persatuan belia.

“Ia supaya perkara-perkara yang diperjuangkan dan hendak dijayakan oleh belia dan persatuan dapat diberi perhatian oleh Kerajaan Negeri dalam bajet yang akan datang,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Hari Belia Negara, peringkat Negeri Johor 2016 di Laman Tun Sri Lanang di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan; Pengawai Daerah, Noorazam Osman dan Presiden Majlis Belia Negeri Johor, Manndzri Nasib.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Belia Felda, Mohd Fadzli Hassan berkata beliau percaya Kerajaan Negeri tidak akan meminggirkan golongan belia terutama di peringkat akar umbi dalam setiap perancangan yang bakal dilaksanakan.

Katanya, ini dapat dilihat menerusi keseriusan Kerajaan Negeri dalam merangka pelbagai program belia menerusi bajet yang lalu sama ada dari segi pendidikan, latihan kemahiran, perumahan, keusahawanan dan sebagainya.

“Oleh itu, saya percaya untuk Bajet Johor 2017, lebih banyak lagi perkara dan peluang yang akan diberikan kepada belia-belia terutama mereka di peringkat akar umbi,” katanya.

Beliau juga mengajak golongan belia menyahut saranan Menteri Besar Johor bagi menyalurkan sebarang idea dan cadangan yang akhirnya akan memberi manfaat kepada mereka menerusi bajet yang akan datang.

Terdahulu, turut berlangsung majlis penyampaian Anugerah Belia Negara 2016, peringkat Negeri Johor, yang menyaksikan johan bagi Anugerah Perdana Pertubuhan Belia dimenangi oleh Persatuan Belia Felda Bukit Besar, Kota Tinggi, dengan membawa wang tunai berjumlah RM15,000.

Sementara itu, Anugerah Perdana Aktivis Belia Melayu dimenangi oleh Mohd Fairuz Mohd Jamil dari Muar, Ong Li Tak dari Kluang (Anugerah Perdana Aktivis Belia Cina) dan Rajasekaran A/L Kalliappan dari Kluang (Anugerah Perdana Aktivis Belia India), masing-masing membawa pulang wang tunai RM3,000.

Turut menerima anugerah, Mohd Fadzli Hassan dari Kota Tinggi (Anugerah Perdana Belia Lelaki) dan Maria Hassan dari Mersing (Anugerah Perdana Belia Wanita), masing-masing membawa pulang wang tunai RM4,000.

Sempena Hari Belia Johor ini, Menteri Besar Johor turut melancarkan Y-Street Kota Tinggi, Penubuhan Kelab Berkereta Anak Selatan Kota Tinggi, Pertandingan Volunteer Kickstart dan menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Majlis Belia Negeri Johor (MBNJ) dan Skills Johor.

Pada majlis sama,  Kerajaan Negeri turut mengumumkan pemberian peruntukkan tahunan berjumlah RM100,000 kepada MBNJ bagi membolehkan lebih banyak program melibatkan golongan belia dilaksanakan pada masa akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamed Khaled berkata, Kerajaan Negeri telah menjalankan kajian Indeks Belia Johor (IBS) melibatkan 10,000 belia pelbagai kaum dari seluruh daerah di negeri ini sejak bulan lalu dan hasil kajian mengenainya dijangka siap penghujung tahun ini.

Katanya, menerusi kajian itu, Kerajaan Negeri akan dapat menilai kehendak, keperluan, masalah dan suara hati belia sekali gus ia akan dijadikan asas kepada pembentukan Pelan Strategik Pembangunan Belia Johor pada masa depan. – JAUHAR